KUALA LUMPUR 27 Mei – Kwasa Land Sdn Bhd memeterai kerjasama strategik dengan Educ8 Group bagi membangunkan kemudahan pendidikan bertaraf antarabangsa di atas tanah seluas 4.69 hektar dalam perbandaran Kwasa Damansara, sekali gus menjadikannya hab masa depan yang inklusif dan bersepadu.
Kerjasama itu dimuktamadkan menerusi Perjanjian Jual Beli (SPA) antara Kwasa Land dan ECM Kwasa Damansara Sdn Bhd, anak syarikat milik Educ8.
Kemudahan pendidikan itu dijangka menampung sekurang-kurangnya 1,500 pelajar dan menjadi pemangkin kepada pembangunan sosioekonomi jangka panjang perbandaran Kwasa Damansara.
Pengarah Urusan Kwasa Land, Datuk Adenan Md Yusof berkata, institusi pendidikan tersebut akan melengkapi tapak sekolah awam yang telah dirancang dalam pelan induk perbandaran berkenaan.
"Ia merupakan transformasi yang akan menarik kedatangan keluarga, memupuk budaya pembelajaran sepanjang hayat serta menyokong aspirasi jangka panjang perbandaran.
"Kerja-kerja infrastruktur sedang giat dijalankan, manakala beberapa lot kediaman utama melibatkan hampir 80.93 hektar telah ditawarkan untuk pembangunan," katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Educ8, Mark Lankester berkata, pihaknya berbesar hati diberi peluang untuk mengembangkan kampus pendidikan di lokasi strategik berkenaan.
"Projek ini menyediakan persekitaran pembelajaran luar biasa bukan hanya kepada komuniti di Kwasa Land, malah kepada penduduk di Kuala Lumpur dan Selangor. Ia mencerminkan komitmen kami dalam menawarkan pendidikan tertinggi di Malaysia," katanya.
Educ8 merupakan penyedia pendidikan swasta yang juga rakan kongsi Asia kepada Epsom College United Kingdom, dengan fokus kepada pendekatan pembelajaran inovatif dan berorientasikan masa depan.
Kwasa Damansara dirancang dengan lebih 101.17 hektar kawasan hijau, sembilan taman, dan lebih 25 kilometer laluan pejalan kaki serta berbasikal.
Perbandaran seluas 457.69 hektar itu turut merangkumi 25,000 unit kediaman termasuk 10,000 unit mampu milik serta 15 tapak sekolah yang telah diperuntukkan.
Kwasa Land telah memeterai kerjasama dengan 13 Rakan Pembangunan melibatkan 315.65 hektar atau 59% daripada tanah boleh jual dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) hampir RM40 bilion.
Kwasa Damansara juga merupakan pembangunan berorientasikan transit (TOD), dengan akses kepada dua stesen MRT Laluan Putrajaya dan Kajang serta dua stesen KTM Komuter, selain hanya 4 kilometer dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.
Lokasinya turut dikelilingi pembangunan seperti Kota Damansara, Tropicana, Subang Bestari, Sungai Buloh, dan Bandar Elmina, menjadikannya lokasi strategik bagi pembangunan kediaman, perniagaan, dan rekreasi.- DagangNews.com








