KUALA LUMPUR 9 Jan – Krisis kelewatan pengeluaran Perakuan Amalan Tahunan (APC) oleh Majlis Perubatan Malaysia (MMC) telah menimbulkan risiko serius, terutamanya kepada pakar dan pakar bedah yang terlibat dalam prosedur berisiko tinggi, kata MBSB Research.
Firma penyelidikan itu berkata kelewatan ini bukan sahaja menjejaskan operasi hospital dan akses pesakit kepada rawatan kritikal, malah memberi impak kewangan yang besar kerana pengamal perubatan tanpa APC sah tidak boleh mengutip bayaran perkhidmatan, sementara insurans malpraktis mereka boleh terbatal.
“Dalam beberapa kes, pengamal swasta terpaksa menangguhkan pembedahan elektif walaupun bayaran telah dibuat lebih awal dan ini menambah tekanan terhadap sistem kesihatan serta keselamatan pesakit.
“Pakar bedah khususnya, menghadapi risiko yang lebih tinggi kerana prosedur mereka lebih kompleks dan perlindungan insurans yang lebih sensitif, menjadikan isu APC ini satu cabaran kritikal bagi sektor perubatan negara,” kata MBSB Research dalam nota kajiannya.
Bagi menangani kelewatan pengeluaran APC oleh MMC, hospital swasta berskala besar seperti IHH Healthcare dan KPJ Healthcare disarankan mengambil langkah proaktif dengan membangunkan sistem dalaman sendiri.
MBSB Research berkata langkah ini termasuk mewajibkan doktor memuat naik rekod CPD (Continuing Professional Development) dan perlindungan insurans profesional ke pangkalan data hospital, menjalin integrasi data terus dengan penyedia insurans, serta memastikan bayaran perkhidmatan doktor yang telah memenuhi syarat APC tidak ditolak atau digantung akibat kelewatan pentadbiran MMC.
“Strategi ini dilihat dapat melindungi operasi hospital, keyakinan pesakit dan pendapatan doktor serta pada masa sama mengurangkan risiko undang-undang dan liabiliti pihak hospital,” kata firma tersebut.
Kelewatan APC ini telah menyebabkan lebih 14,000 doktor memulakan perkhidmatan pada tahun 2026 tanpa APC yang sah, menimbulkan cabaran pentadbiran dan perundangan yang besar.
MMC menyatakan bahawa kelewatan berpunca daripada lonjakan mendadak jumlah permohonan serta dokumen sokongan yang dikemukakan lewat.

Untuk rekod, MMC telah mengeluarkan lebih 74,000 APC pada tahun 2024 bagi tempoh perkhidmatan 2025, namun sistem sedia ada kini tidak lagi mampu menampung pertumbuhan bilangan doktor.
Laporan penyelidikan juga menunjukkan kira-kira 30% ahli majlis MMC sendiri tidak mempunyai APC terkini. Setakat laporan ini disediakan, sekitar 10,000 permohonan APC tertunggak telah diproses.
Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menegaskan isu ini bukan sekadar masalah pentadbiran, sebaliknya merupakan kegagalan tadbir urus yang serius.
Di bawah Akta Perubatan 1971, pengamal perubatan yang beramal tanpa APC yang sah boleh dikenakan tindakan undang-undang tanpa mengambil kira niat atau punca kelewatan.
Antara implikasi utama ialah doktor tanpa APC yang sah tidak berhak mengutip bayaran perkhidmatan, insurans Indemniti Profesional boleh terbatal, dan hospital atau klinik yang menggaji doktor tidak berlesen berdepan risiko liabiliti sekiranya berlaku insiden perubatan.
Preskripsi, sijil cuti sakit dan testimoni pakar yang dikeluarkan oleh doktor tanpa APC sah juga boleh dipertikaikan kesahihannya dari sudut perundangan.
Susulan tekanan daripada MMA dan Persekutuan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Malaysia (FPMPAM), MMC telah mengeluarkan pekeliling kecemasan sebagai langkah kelonggaran sementara.
Doktor yang telah mengemukakan permohonan lengkap dan membuat bayaran sebelum 31 Disember 2025 dibenarkan meneruskan amalan tanpa penalti, dengan tarikh kuat kuasa APC proksi direkodkan pada 1 Januari 2026.

Hospital dan Kementerian Kesihatan diminta tidak menggantung atau menyingkirkan doktor daripada jadual tugas sepanjang tempoh penyelesaian ini.
Namun begitu, kelonggaran sementara ini tidak mengubah realiti undang-undang dan ketiadaan APC fizikal atau digital sah masih boleh menimbulkan isu dalam tuntutan mahkamah atau insurans.
MBSB Research berkata krisis APC ini juga mendedahkan kelemahan ketara dalam sistem pendigitalan pentadbiran kesihatan, khususnya melalui portal MeRITS yang digunakan oleh MMC.
“Sistem tersebut dikritik kerana kurang automasi, terlalu bergantung kepada pengesahan manual, tidak memaparkan status permohonan secara masa nyata dan gagal menangani lonjakan permohonan tahunan.
“Doktor yang patuh dilihat seolah-olah beramal secara haram dalam rekod awam, sekali gus menjejaskan kepercayaan pesakit.
“Dari sudut ESG, isu ini dilihat sebagai kegagalan besar dalam elemen sosial dan tadbir urus sektor kesihatan.
“Bagi penyedia perkhidmatan kesihatan tersenarai, krisis APC CY26 merupakan risiko material kerana operasi mereka bergantung kepada satu titik kegagalan digital kerajaan. Sekiranya pesakit enggan membayar bil kerana doktor dianggap tidak berlesen, hospital berpotensi kehilangan hak undang-undang untuk menuntut bayaran tersebut,” katanya.
Kelewatan ini juga boleh menjejaskan keyakinan pelabur, meningkatkan kos insurans syarikat, dan merosakkan reputasi institusi perubatan di Malaysia.
Bagi menangani isu ini dalam jangka panjang, MBSB Research mencadangkan dua pendekatan utama iaitu rombakan menyeluruh sistem digital MeRITS dan pindaan Akta Perubatan 1971.
Cadangan termasuk pengenalan tempoh budi bicara statutori selama 60 hari bagi doktor yang telah memohon dan membayar yuran, pelaksanaan APC berbilang tahun untuk mengurangkan beban pentadbiran, serta pengiktirafan status digital sebagai bukti sah lesen beramal.- DagangNews.com








