KPJ Healthcare perkukuh peranan Malaysia sebagai hab inovasi kesihatan serantau menerusi MIH Megatrends 2025 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KPJ Healthcare perkukuh peranan Malaysia sebagai hab inovasi kesihatan serantau menerusi MIH Megatrends 2025

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 18 April – Malaysia mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai peneraju inovasi kesihatan serantau menerusi pelancaran Malaysia International Healthcare (MIH) Megatrends 2025, inisiatif utama Kementerian Kesihatan Malaysia yang dilaksanakan dengan kerjasama strategik KPJ Healthcare Berhad.

 

Inisiatif itu seiring dengan kepengerusian Malaysia dalam ASEAN pada tahun ini.

 

Pengerusi KPJ Healthcare Berhad, Tan Sri Dr. Ismail Bakar kejayaan berkata, MIH Megatrends 2024 telah meletakkan penanda aras yang tinggi, namun ia juga menjadi dorongan untuk berfikir lebih jauh dan menyediakan platform yang lebih bermakna. 

 

 

 

Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap Kementerian Kesihatan atas kepercayaan yang berterusan kepada KPJ dalam membantu menjayakan MIH Megatrends 2025. 

 

“MIH Megatrends 2025 yang akan berlangsung dari 25 hingga 27 November bukan sekadar sebuah acara tetapi adalah satu demonstrasi berani tentang apa yang boleh dicapai apabila sektor awam dan swasta bersatu di bawah visi yang sama,” katanya satu kenyataan selepas Majlis Pra Pelancaran MIH Megatrends 2025, hari ini.

 

KPJ

 

Terdapat 20 pempamer yang akan menyertai MIH Megatrends 2025, yang bakal menampilkan enam segmen utama iaitu Teknologi Perubatan Termaju, Biofarmaseutikal dan Terapi Lanjutan, Kesihatan Digital dan Teleperubatan berasaskan AI, Kesihatan Komuniti dan Kesejahteraan Awam, Penjagaan Kesihatan Mampan dan Hijau serta Pembiayaan Penjagaan Kesihatan.

 

“Kami amat menantikan inovasi dan idea yang akan dipamerkan, penyelesaian yang bukan hanya menangani keperluan semasa, tetapi yang turut menjangkakan hala tuju transformasi penjagaan kesihatan. 

 

“MIH Megatrends 2025 bukan tentang alat yang kita gunakan hari ini, tetapi tentang membayangkan apa yang akan mentakrifkan semula penjagaan pesakit pada masa hadapan,” katanya.

 

KPJ komited menjadikan MIHbukan sekadar acara industri tetapi satu platform yang memacu hasil bermakna, termasuk menarik penyertaan antarabangsa dan menyediakan ruang untuk minda-minda terbaik dari seluruh dunia bertemu dan berkolaborasi.

 

MIH Megatrends 2025 juga akan menyediakan peluang jaringan yang disusun rapi bagi membolehkan semua pihak berkepentingan berhubung, bekerjasama, dan menjalin perkongsian merentas sempadan dan sektor. 

 

Semua pihak termasuk pembuat dasar, pelopor industri, penyelidik, dan institusi antarabangsa untuk turut serta sejak awal dengan memberi sumbangan idea dan bersama-sama menetapkan agenda dekad akan datang dalam bidang kesihatan.

 

Ismail berkata, fokus utama program itu adalah lebih kepada kerjasama kukuh antara sektor awam dan swasta. 

 

“Saya rasa untuk pusingan kedua MIH Megatrends 2025 ini, kita mahu lihat kerjasama yang lebih baik, kerjasama yang lebih kukuh antara sektor awam dan swasta, seperti yang sering ditekankan Menteri Kesihatan. 

 

“Ia merupakan satu bidang di mana kita boleh tunjukkan bahawa sektor awam boleh bekerjasama untuk manfaat negara dan rakyat,” katanya.

 

MIH Megatrends 2025 akan berlangsung selama tiga hari di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, dengan hari ketiga dibuka kepada orang awam sebagai inisiatif untuk meningkatkan literasi kesihatan dan penglibatan masyarakat. - DagangNews.com