KUALA LUMPUR 22 Ogos – KPJ Healthcare Bhd melancarkan kempen pemeriksaan kesihatan ‘Bebas & Sihat’ yang menawarkan pakej saringan asas berharga RM99.
Kempen itu ditawakan di 29 hospital pakar KPJ seluruh negara (kecuali Hospital Pakar KPJ Tawakkal KL) sehingga 30 September 2025.
KPJ Healthcare berkata, inisiatif itu bertujuan menggalakkan rakyat Malaysia mengambil langkah proaktif dalam memantau tahap kesihatan mereka, selain menjadikan pemeriksaan asas lebih mudah diakses pada harga mampu milik.
“Pakej tersebut merangkumi ujian asas seperti pemeriksaan darah, buah pinggang, lipid, hati dan ujian air kencing diikuti sesi konsultasi bersama pegawai perubatan.
“Ujian ini penting untuk mengesan penyakit tidak berjangkit (NCD) termasuk diabetes, kolesterol tinggi serta masalah buah pinggang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sempena sambutan bulan Merdeka, pelanggan ZUS Coffee dengan akaun berdaftar juga boleh mendapatkan saringan kesihatan itu pada harga promosi RM88 apabila membeli melalui aplikasi ZUS Coffee dan menebus di hospital pakar KPJ terlibat.
Menurut KPJ Healthcare, temu janji boleh dibuat melalui WhatsApp atau secara terus di hospital, namun tertakluk kepada kekosongan.
“Pelanggan digalakkan membuat tempahan awal bagi mengelakkan kesesakan,” katanya.
Kempen ‘Bebas & Sihat’ tersebut adalah komitmen kumpulan itu untuk meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan pemeriksaan kesihatan berkala, selain memperluas akses kepada perkhidmatan saringan asas di seluruh negara. - DagangNews.com








