KPJ Healthcare, IBM Malaysia jalin kerjasama tingkatkan kualiti perkhidmatan guna chatbot berkuasa AI | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KPJ Healthcare, IBM Malaysia jalin kerjasama tingkatkan kualiti perkhidmatan guna chatbot berkuasa AI

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 28 April - KPJ Healthcare Bhd mengumumkan kerjasama dengan IBM Malaysia Sdn Bhd dan GlobeOss Sdn Bhd bagi memperkenalkan chatbot berkuasa AI yang dibina menggunakan teknologi watsonx IBM.

 

Kerjasama itu bertujuan meningkatkan kualiti perkhidmatan dan memperbaiki pengalaman pesakit di 30 hospital pakar KPJ Healthcare, termasuk KPJ Kuala Selangor yang baru dibuka.

 

Chatbot berkuasa AI tersebut direka untuk menguruskan permintaan maklumat rutin pesakit, menjawab soalan-soalan yang sering ditanya, memberikan maklumat pakar dan pengurusan temujanji. 

 

Platform itu akan menyediakan maklumat yang tepat dan mudah diakses selain meningkatkan kemudahan serta kepuasan pesakit.

 

Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare, Chin Keat Chyuan berkata, chatbot AI mencerminkan komitmen syarikat terhadap inovasi.

 

"Kami dapat memberikan maklumat yang tepat pada masanya dan tepat untuk menyokong matlamat lebih besar kami dalam membina sistem penjagaan kesihatan yang lebih pintar dan lebih tersambung. 

 

"Inisiatif ini adalah sebahagian daripada transformasi berterusan KPJ, yang bertujuan untuk hasil pesakit yang lebih baik," katanya dalam satu kenyataan.

 

Pengurus Besar Negara dan Ketua Teknologi di IBM Malaysia, Dickson Woo menyatakan kepentingan kerjasama tersebut.

 

"Kerjasama kami dengan KPJ Healthcare, bersama rakan ekosistem kami GlobeOSS, merupakan satu Langkah penting dalam memajukan penglibatan pesakit dan mentransformasikan perkhidmatan penjagaan kesihatan di Malaysia," katanya.

 

Chatbot itu menggunakan AI tahap perusahaan IBM, watsonx.ai, dan IBM Watson Discovery untuk memahami dokumen secara pintar. 

 

Dengan menggabungkan pembelajaran mendalam, pembelajaran mesin, dan pemprosesan bahasa semulajadi (NLP), teknologi itu membolehkan sistem memahami pertanyaan pesakit, memberikan jawapan yang tepat, dan menyelesaikan tugas melalui AI perbualan.

 

Kerjasama itu merupakan langkah penting dalam memajukan inovasi AI dalam industri penjagaan kesihatan Malaysia.- DagangNews.com