Kotra Industries diyakini terima manfaat daripada perkembangan pasaran ubat tanpa preskripsi, kata Kenanga | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kotra Industries diyakini terima manfaat daripada perkembangan pasaran ubat tanpa preskripsi, kata Kenanga

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Ogos - Kotra Industries Berhad diyakini terus meraih manfaat daripada pertumbuhan pasaran ubat tanpa preskripsi (OTC) domestik, sejajar dengan peningkatan berterusan perbelanjaan penjagaan kesihatan secara langsung oleh pengguna.

 

Kenanga Research berkata, produk OTC kini menyumbang sekitar 50% daripada pendapatan keseluruhan kumpulan, menjadikan segmen itu sebagai tunjang utama pertumbuhan syarikat. 

 

Katanya, data menunjukkan perbelanjaan penjagaan kesihatan di farmasi swasta di Malaysia telah mencatatkan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sebanyak 11% sepanjang 10 tahun lalu.

 

“Trend pengguna semakin jelas — mereka kini lebih cenderung membeli produk kesihatan secara terus di farmasi, terutamanya produk OTC seperti makanan tambahan dan vitamin. 

 

"Ia merupakan peluang besar Kotra yang telah lama bertapak dalam segmen ini dengan jenama terkenal seperti Appeton,” katanya

 

Firma penyelidikan itu berkata, walaupun kumpulan mencatatkan sedikit penurunan dalam hasil sukuan keempat tahun kewangan 2025 (4QFY25) sebanyak 10% disebabkan permintaan yang lebih rendah tetapi hasil tahunan meningkat 7% disokong peningkatan jualan tempatan (2.4%) dan eksport (0.7%).

 

Katanya, sentimen pengguna dijangka bertambah baik sepanjang FY26, terutamanya selepas kejelasan dicapai berkaitan rasionalisasi subsidi seperti RON95, dan selepas tempoh penyesuaian awal kepada persekitaran ekonomi semasa.

 

“Kami melihat permintaan terhadap produk OTC kekal kukuh, dan pasaran domestik memberikan ruang pertumbuhan yang berterusan. 

 

"Kotra berada dalam kedudukan strategik untuk merebut peluang ini melalui penguasaan jenama dan rangkaian pemasaran yang kukuh,” katanya.

 

Kenanga Research menyukai kumpulan itu kerana memiliki potensi cerah dalam pasaran ubat OTC, memiliki model perniagaan bersepadu daripada R&D hingga ke julan selain mempunyai margin tinggi menerusi pengeluaran jenama asal (OBM) 

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "outperform" dengan harga sasaran (TP) RM4.90 sesaham.- DagangNews.com