KUALA LUMPUR 11 Sept – Kota Bharu melakar sejarah apabila secara rasmi dicalonkan sebagai “World Craft City” oleh World Crafts Council (WCC) yang akan membuka ruang untuk menjana peluang ekonomi baharu dalam kalangan komuniti tempatan.
Presiden Majlis Kraf Malaysia, Nik Faiz Nik Amin berkata, pencalonan itu akan mengangkat martabat penggiat seni kraf tempatan ke peringkat global dan menjana peluang ekonomi baharu kepada penggiat industri.
“Kami berharap pencalonan ini dapat memberi manfaat khususnya kepada komuniti wanita dan penggiat seni tekstil tradisional.
“Ia akan memperkukuh usaha menjadikan Kelantan menjadi destinasi pelancongan beridentitikan warisan dan budaya yang terkenal di peringkat global,” katanya.
Pencalonan itu dibuat oleh Majlis Kraf Malaysia yang bertindak sebagai wakil negara di WCC.
Sekiranya Kota Bharu diiktiraf secara rasmi, ia akan membuka peluang untuk menarik pelancong antarabangsa, pelabur industri kreatif, serta meningkatkan nilai pasaran produk kraf tempatan di peringkat global, sekaligus menjana pendapatan tambahan dan memperkukuh ekonomi kreatif negeri Kelantan.
Majlis menandatangani plak pencalonan itu berlangsung di sebuah hotel di Kota Bharu yang disempurnakan Sultanah Kelantan, Sultanah Nur Diana Petra Abdullah.

Turut hadir dalam majlis bersejarah itu ialah Naib Presiden WCC (Rantau Asia Pasifik) dari India, Sundeep Kumar dan pimpinan tertinggi kerajaan negeri Kelantan.
Nik Faiz berkata, sebagai organisasi bukan kerajaan yang menjadi agen advokasi pembangunan industri kraf negara, pihaknya akan sentiasa menonjolkan keistimewan warisan seperti batik, songket, tenun, perak, seramik dan sulaman.
“Kami juga bertindak sebagai jambatan antara penggiat seni kraf dengan industri seni persembahan, melalui sinergi dan jaringan strategik di peringkat antarabangsa.
“Selain itu, peluang pasaran eksport bagi produk kraf seperti batik, songket, dan tenun dijangka meningkat, seterusnya memberi kesan positif kepada komuniti penggiat kraf dan usahawan mikro,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Kelantan, Datuk Kamarudin Md Nor berkata, pencalonan itu membuktikan pengiktirafan antarabangsa terhadap warisan seni kraf negeri Kelantan.
“Walaupun pencalonan ini belum menjamin pengiktirafan muktamad, ia sudah cukup membuktikan yang warisan seni kraf negeri Kelantan diiktiraf dan diberi perhatian di peringkat antarabangsa.
“Majlis ini menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan dari sektor kerajaan dan swasta, sebagai permulaan usaha bersama memelihara dan mengembangkan seni kraf Malaysia ke tahap lebih tinggi di pentas dunia,” katanya.
Majlis itu turut menampilkan demonstrasi eksklusif oleh dua tokoh Adiguru, Nik Marhamah Nik Megat (Sulaman Kelingkan) dan Che Rohani Che Mood (Tenunan Songket) yang mempersembahkan proses penghasilan tekstil tradisional kepada para tetamu.
Sehingga kini, beberapa bandar di Asia Pasifik telah diiktiraf sebagai World Craft City oleh WCC, termasuk Hanoi di Vietnam, Jaipur di India, dan Suzhou di China. Bandar-bandar ini dipilih berdasarkan kepelbagaian seni kraf tempatan, tradisi warisan yang terpelihara, serta kemampuan mempromosikan industri kreatif kepada pelancong dan pelabur antarabangsa.
Dengan pencalonan Kota Bharu, Malaysia bakal menyertai barisan bandar-bandar tersebut, membuka peluang untuk meningkatkan profil kraf tempatan, menarik pelancong antarabangsa, dan mewujudkan peluang ekonomi baru melalui pemasaran produk kraf tradisional seperti batik, songket dan tenun.- DagangNews.com








