Kossan perkukuh strategi jangka panjang menerusi pengeluaran produk mampan - HLIB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kossan perkukuh strategi jangka panjang menerusi pengeluaran produk mampan - HLIB

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 23 Jun – Kossan Rubber Industries Bhd menjadikan pengurusan alam sekitar sebagai strategi operasi jangka panjang, disokong peningkatan prestasi tahunan yang menekankan komitmennya terhadap pengeluaran mampan.

 

Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research berkata, Kossan mencatat pencapaian ketara dalam pengurusan pelepasan karbon, air dan sisa pada tahun 2024, meskipun sektor sarung tangan terus berdepan cabaran meluas.

 

Pencapaian tersebut sejajar dengan pelaksanaan Kossan Sustainability Strategy and Blueprint 2035, yang menggantikan rangka kerja terdahulu, L.I.V.E. 12, dengan penetapan sasaran yang lebih jelas bagi memenuhi jangkaan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) global.

 

Di bawah pelan kelestarian terbaharu, syarikat menyasarkan untuk mengurangkan tahap pelepasan karbon Tahap 1 dan Tahap 2 sebanyak 53.6% menjelang 2035. 

 

HLIB turut memaklumkan segmen produk getah teknikal kumpulan mencatatkan pengurangan pelepasan sebanyak 3.7% tahun ke tahun, kepada 2.37 kilogram bersamaan karbon dioksida (CO2e) bagi setiap kilogram produk, didorong oleh pelaksanaan langkah penjimatan tenaga secara berterusan.

 

Bagaimanapun, tahap pelepasan karbon keseluruhan bagi operasi sarung tangan kekal mendatar pada 0.023 tan CO2e bagi setiap 1,000 unit sarung tangan pada 2024, disebabkan kemasukan pelepasan terampai serta penggunaan faktor pelepasan nasional yang dikemas kini bagi pengiraan Tahap 2.

 

Dari segi pengurusan air, Kossan menetapkan sasaran untuk mengurangkan tahap penggunaan air sebanyak 35% menjelang 2035, selaras dengan pendekatan mesra alam dan cekap sumber.

 

Firma itu mengekalkan unjuran pendapatan Kossan bagi FY25–FY27, serta mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran tidak berubah pada RM2.30.- DagangNews.com