KUALA LUMPUR 5 Mei - LPI Capital Bhd dijangka berdepan cabaran kewangan dalam jangka masa terdekat disebabkan peningkatan kos perlindungan insurans semula dan risiko tuntutan yang tinggi.
CIMB Securities berkata, unjuran tersebut juga ditambah dengan pengurangan keuntungan bersih sebanyak RM97.98 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2025, dengan pendapatan sebanyak RM515.1 juta.
Firma penyelidikan itu berkata, keuntungannya menurun walaupun terdapat peningkatan dalam hasil insurans dan pengurangan kos perkhidmatan insurans, kerana kos perlindungan insurans semula yang tinggi memberi kesan besar.
"Tekanan daripada kos perlindungan insurans semula yang meningkat dan risiko tuntutan yang lebih tinggi boleh menjejaskan unjuran pendapatan LPI.
"Selain itu, LPI juga berdepan cabaran pertumbuhan premium insurans yang perlahan disebabkan ketidaktentuan ekonomi dalam negara akibat ketegangan perdagangan global," katanya dalam satu nota kajian.
Susulan itu, CIMB menurunkan penarafan saham LPI daripada 'beli' kepada 'pegang' dengan harga sasaran baharu sebanyak RM14.37 sesaham.
MIDF Research pula mengekalkan unjuran pendapatan LPI, tetapi memberi amaran kos perlindungan insurans semula yang tinggi, tuntutan melebihi jangkaan dan pertumbuhan premium yang lemah masih menjadi risiko utama.
Ia bagaimanapun menilai saham LPI lebih tinggi berikutan hubungan lebih rapat syarikat dengan Public Bank Bhd, yang telah membeli 44.15% pegangan dalam LPI pada Oktober lalu.
LPI dijangka menjual 1.13% pegangan sahamnya dalam Public Bank menjelang akhir tahun ini dan MIDF berkata, langkah itu berpotensi membawa kepada pembayaran dividen khas.
Oleh itu, firma penyelidikan berkenaan mengekalkan penarafan 'beli' dengan harga sasaran RM15.25.
Kenanga Research turut berkongsi pandangan positif dengan penarafan 'outperform' dan sasaran harga RM16.
Menurutnya, nilai jangka panjang LPI mungkin meningkat hasil kerjasama yang lebih erat dengan Public Bank.
"Jualan saham LPI dalam Public Bank dijangka bermula selepas syarikat menerima dividen interim pertama bank itu pada September 2025, sebelum tarikh akhir penjualan pada Disember," ujarnya.
Sementara itu, Affin Hwang Investment Bank menjangkakan nisbah tuntutan dan kos keseluruhan LPI akan kembali stabil dalam suku-suku akan datang.
Oleh itu, ia mengekalkan penarafan 'pegang' dengan harga sasaran RM14.20. - DagangNews.com








