Kos operasi tinggi, media tradisional terus berdepan cabaran dalam era digital - Kenanga Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kos operasi tinggi, media tradisional terus berdepan cabaran dalam era digital - Kenanga Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Julai - Syarikat media tradisional di negara ini berdepan cabaran untuk terus bersaing dalam dunia digital akibat kos yang tinggi untuk beroperasi, kata Kenanga Research.

 

Katanya, sebahagian daripada mereka masih bergantung kepada infrastruktur lama, mesin percetakan dan rangkaian penghantaran fizikal.

 

Selain itu, firma penyelidikan itu berkata, mereka juga berdea cabaran tenaga kerja yang semakin berusia dengan kemahiran mereka mungkin tidak lagi relevan dengan keperluan digital semasa.

 

"Walaupun ada syarikat yang cuba mengurangkan kerugian melalui pengurangan kakitangan, penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam operasi dan pelupusan aset lama namun ia masih belum mencukupi untuk meningkatkan keuntungan.

 

"Sekiranya tiada sebarang tindakan drastik dilakukan, media tradisional akan terus ketinggalan apabila semakin ramai pengguna beralih kepada platform digital untuk berita dan hiburan," katanya dalam satu nota kajian.

 

Penurunan perbelanjaan pengiklanan (adex) bagi saluran TV percuma  dan akhbar sebahagian besarnya didorong penyusutan ketara di Awesome TV (penurunan 91%) dan The Star (penurunan 25%).

 

Adex bagi separuh pertama 2025 bagi Media Chinese International susut 17% disebabkan prestasi iklan lemah manakala Sin Chew Daily mencatatkan penurunan sebanyak 22%.

 

Bagaimanapun, jumlah perbelanjaan iklan bagi siaran TV percuma dan akhbar utama di bawah Media Prima mencatat pertumbuhan 2.8% tahun ke tahun bagi separuh pertama 2025 disokong pertumbuhan 3.2% melebihi penurunan dalam segmen akhbar.

 

Pertumbuhan itu dipacu peningkatan di TV3 (peningkatan 13%) dan TV9 (peningkatan 39% ) yang berjaya mengimbangi kelemahan di NTV7 (penurunan 26%) dan Harian Metro ( penurunan 25%).

 

Kenanga Research percaya, tumpuan kini lebih terarah kepada forma digital yang lebih interaktif terutamanya penstriman langsung di media sosial (Facebook dan TikTok) serta platform e-dagang seperti Shopee dan Lazada. 

 

Katanya, menurut Milieu Insight, rakyat Malaysia merupakan antara tiga warganegara teratas di Asia Tenggara yang kerap menonton sesi membeli-belah secara langsung di belakang Vietnam dan Thailand.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kategori produk yang sering dipaparkan dalam jualan siaran langsung juga merupakan antara penyumbang utama kepada perbelanjaan iklan media digital (digital media adex) di Malaysia.

 

"Secara keseluruhan, kategori-kategori ini hanya berada di belakang segmen perkhidmatan makanan & minuman, yang menyumbang 20.1% daripada jumlah perbelanjaan iklan pada tahun 2023.

 

"Kategori produk tersebut termasuk runcit (16.7%), penjagaan peribadi (16.4%) serta teknologi & elektronik (16.3%).

 

"Memandangkan segmen-segmen ini juga berkemungkinan besar merupakan penyumbang utama perbelanjaan dalam media tradisional, peralihan mereka ke arah perdagangan langsung (live commerce) mungkin terus mengurangkan bahagian perbelanjaan iklan bagi saluran media lama," katanya.- DagangNews.com