Kos baja meningkat 10% tekan pendapatan Sarawak Oil Palms, kata RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kos baja meningkat 10% tekan pendapatan Sarawak Oil Palms, kata RHB Research

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 1 Sept - Sarawak Oil Palms Bhd (SOP) menjangkakan kos baja akan meningkat 10% tahun ke tahun pada FY26, sekali gus meningkatkan kos pengeluaran seunit syarikat, menurut RHB Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata, ditambah dengan unjuran pengeluaran buah tandan segar (BTS) yang lebih rendah ia bakal memberi kesan kepada anggaran pendapatan SOP bagi tempoh FY26 hingga FY28.

 

“Secara keseluruhan, kami melaraskan unjuran pendapatan FY26-28F masing-masing sebanyak -2%, +5.7% dan +1.5%, selepas mengambil kira pengeluaran BTS yang lebih rendah dan kos seunit yang lebih tinggi,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, walaupun terdapat tekanan daripada kos pengeluaran yang lebih tinggi, pihaknya mengekalkan penarafan ‘BELI’ terhadap SOP dengan harga sasaran (TP) dinaikkan kepada RM6.10 daripada RM5.20.

 

Harga sasaran RM6.10 itu memberikan potensi kenaikan sekitar 14%, selain hasil dividen kira-kira 4%.

 

Harga sasaran baharu itu berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (P/E) FY27 sebanyak 11 kali, berbanding 10 kali sebelum ini, bagi menyelaraskan penilaian SOP dengan syarikat setara.

 

Firma penyelidikan itu turut mengemas kini andaian harga minyak sawit mentah (MSM) kepada RM4,500 setan bagi FY27 dan RM4,400 setan bagi FY28, berbanding RM4,300 setan sebelum ini.

 

Andaian kadar pertukaran asing (FX) dalaman turut dikemas kini dalam semakan tersebut.

 

"Kami berpandangan penilaian semasa SOP masih tidak wajar memandangkan kedudukannya sebagai syarikat perladangan tulen yang sepatutnya mendapat manfaat besar daripada persekitaran harga MSM yang tinggi.

 

"Selain itu, SOP dijangka mendapat manfaat daripada tempoh puncak pengeluaran BTS yang bakal tiba," katanya.

 

RHB Research berkata, pendapatan SOP bagi 1HFY26 berada dalam jangkaan, dan pihaknya menjangkakan syarikat akan mencatatkan prestasi pendapatan lebih kukuh pada 2HFY26 disokong harga minyak sawit mentah (MSM) yang tinggi, didorong harga tenaga yang meningkat serta pengeluaran yang lebih tinggi secara bermusim. - DagangNews.com