KUALA LUMPUR 2 Mei - Kontrak pembinaan bernilai RM750 juta yang diberikan oleh pemaju hartanah Fields of Forest Sdn Bhd kepada Vizione Holdings Bhd telah dibatalkan serta-merta.
Vizione berkata, pembatalan dibuat atas persetujuan bersama, namun tidak menjelaskan sebab di sebalik keputusan tersebut.
Kontrak berkenaan diberikan oleh Fields of Forest pada 30 Mei 2024.
Ia melibatkan pembinaan blok servis apartmen, deretan kedai dan kompleks tempat letak kereta di Gombak, Selangor.
Pengarah Urusan Vizione, Datuk Ng Aun Hooi dan Pengarah Eksekutif Bee Jian Ming merupakan pemegang saham tidak langsung dalam Fields of Forest.
"Pembatalan kontrak ini tidak dijangka memberi kesan besar kepada pendapatan atau aset bersih syarikat dalam masa terdekat," kata Vizione dalam satu makluman di Bursa Malaysia.
Untuk suku ketiga berakhir 28 Februari 2025, keuntungan bersih Vizione jatuh 92% kepada RM39,000 berbanding RM504,000 tahun lalu, akibat ketiadaan projek baharu dan kelewatan projek sedia ada yang meningkatkan kos operasi.
Namun, hasil suku tahunan meningkat 5% kepada RM54.11 juta daripada RM51.15 juta, disokong oleh penjualan unit siap bina dalam segmen pembangunan hartanah.
Untuk tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan, syarikat mencatat kerugian bersih RM79.42 juta, berbanding keuntungan bersih RM828,000 bagi tempoh sama tahun lalu.
Hasil meningkat kepada RM192.66 juta daripada RM186.78 juta, didorong oleh segmen pembinaan yang menyumbang 97% daripada jumlah pendapatan.
Sejak awal tahun, saham syarikat menyusut sebanyak 22.73%.
Ia pernah naik kepada 20 sen pada 30 Mei 2024, sebelum meningkat kepada 25 sen pada 4 Jun 2024 dan mencapai 27.5 sen pada 10 Jun 2024, namun mula menurun menjelang Ogos tahun sama. - DagangNews.com








