Kontrak jangka panjang beri kelebihan kepada MISC kukuhkan pendapatan - MBSB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kontrak jangka panjang beri kelebihan kepada MISC kukuhkan pendapatan - MBSB Research

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 28 Ogos - Kontrak jangka panjang menjamin pendapatan berulang MISC Berhad, sekali gus mengukuhkan prospek pendapatan syarikat perkapalan itu untuk tempoh akan datang menurut MBSB Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata, hasil taklimat pengurusan baru-baru ini, MISC juga mendapat manfaat daripada pertumbuhan armada LNG serta peluang pengembangan dalam segmen Offshore dan Pengangkutan Petroleum & Produk (PPS).

 

"Kumpulan juga berada pada kedudukan baik untuk mengekalkan keterlihatan pendapatan berikutan sebahagian besar aset dalam segmen GAS dan Offshore disokong kontrak sewaan jangka panjang, sekali gus mengurangkan pendedahan kumpulan terhadap turun naik pasaran spot,” katanya dalam nota penyelidikan.

 

Bagi tempoh 6MFY26, hasil MISC meningkat 39% tahun ke tahun kepada RM7.7 bilion, manakala keuntungan bersih boleh diagihkan kepada pemegang saham (PATAMI) dinormalkan meningkat 41% kepada RM1.6 bilion.

 

Prestasi itu didorong terutamanya oleh kadar tambang dan hari operasi yang lebih tinggi dalam segmen PPS, kemajuan pembinaan lebih tinggi bagi aset FSO dan FPU dalam segmen Offshore serta kemajuan projek dalam segmen Kejuruteraan Marin & Berat (MHE).

 

Selari prestasi kewangan bagi enam bulan pertama FY2026 (6MFY26) yang berada dalam jangkaan firma penyelidikan itu, RHB Research mengekalkan saranan ‘BELI’ terhadap MISC dengan harga sasaran RM9.22 sesaham

 

LNG jadi pemacu pertumbuhan jangka panjang

RHB Research melihat prospek penghantaran LNG MISC kekal berdaya tahan walaupun permintaan import LNG global dijangka mendatar pada CY26 susulan harga gas yang tinggi dan gangguan bekalan.

 

Permintaan global bagaimanapun dijangka kembali berkembang pada kadar sekitar 10% setahun menjelang 2031, dipacu terutamanya oleh permintaan dari Asia.

 

Firma itu berkata, kelembapan sementara permintaan LNG tidak memberi risiko besar secara langsung kepada pendapatan MISC kerana segmen GAS kebanyakannya beroperasi di bawah kontrak sewaan jangka panjang dengan kadar harian tetap.

 

Pada masa sama, armada kapal pengangkut LNG (LNGC) global dijangka berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) 7% menjelang 2031.

 

Perkembangan itu memberi peluang kepada MISC untuk terus mendapat manfaat daripada permintaan terhadap kapal LNG moden, termasuk kerja pengubahsuaian, pemulihan kapal dan pembinaan kapal baharu yang lebih cekap tenaga serta mematuhi keperluan ESG.

 

PPS terus manfaat kadar tambang

Dalam segmen PPS, prospek kekal positif dengan kadar tambang kapal tangki dijangka terus menyokong pendapatan, walaupun kadar spot berpotensi sederhana daripada paras tinggi yang dicapai pada awal CY26.

 

RHB Research berkata, MISC mempunyai peluang untuk menempatkan kapal yang belum mempunyai kontrak kepada kontrak sewaan berjangka yang lebih menguntungkan, sekali gus membantu melindungi pendapatan sekiranya berlaku pembetulan mendadak kadar spot.

 

Bekalan armada global juga dijangka kekal ketat dalam 2HFY26 kerana penghantaran kapal baharu hanya dijangka meningkat mulai akhir CY27.

 

Selain itu, peraturan alam sekitar yang semakin ketat dijangka memberikan kelebihan kepada kapal tangki dwi-bahan api MISC yang direka bentuk secara mesra alam.

 

Offshore tawar potensi pertumbuhan baharu

Prospek segmen Offshore turut disokong pertumbuhan perbelanjaan modal huluan global yang dijangka meningkat kepada AS$200 bilion menjelang 2030.

 

Pasaran kemudahan terapung juga kekal kukuh dengan perbelanjaan tahunan dianggarkan antara AS$14 bilion hingga AS$19 bilion, manakala sebanyak 30 projek FPSO dijangka dianugerahkan sepanjang CY27 hingga CY29.

 

Lebih separuh daripada projek berkenaan tertumpu di wilayah laut dalam utama seperti Brazil dan Guyana, Afrika serta Asia Pasifik.

 

RHB Research berkata lanjutan kontrak yang diperoleh MISC bagi aset terapung brownfield turut membantu mengunci penggunaan aset yang tinggi serta aliran tunai operasi yang lebih stabil.

 

Kedudukan kewangan beri ruang berkembang

Sementara itu, kedudukan kewangan MISC dilihat semakin kukuh apabila nisbah gearan kasar bertambah baik daripada 0.37 kali pada Disember 2025 kepada 0.36 kali pada Jun 2026.

 

Nisbah gearan bersih pula bertambah baik daripada 0.20 kali kepada 0.16 kali, disokong peningkatan kedudukan tunai dan aset semasa.

 

Menurut RHB Research, tahap gearan bersih yang lebih rendah memberikan ruang kepada MISC untuk membiayai perbelanjaan modal tinggi bagi penghantaran kapal, projek pertumbuhan FPSO serta pemodenan armada tanpa menjejaskan kecairan atau kestabilan dividen.

 

Firma penyelidikan itu tidak mengubah unjuran pendapatan MISC selepas keputusan 6MFY26 yang berada dalam jangkaan.

 

Harga sasaran RM9.22 dikekalkan berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (PER) 14 kali terhadap EPS FY26 sebanyak 66 sen. - DagangNews.com