KUALA LUMPUR 23 Sept - CBH Engineering Holdings Berhad dijangka mencatatkan keuntungan sekitar RM4.7 juta dalam tempoh enam bulan hasil daripada kontrak kejuruteraan pencawang bagi sebuah pusat data di Johor, kata Public Investment Bank (PublicInvest).
Katanya, dengan andaian margin sekitar belasan peratus, projek terbaharu itu bakal menyumbang secara positif kepada prestasi kewangan kumpulan dan pada masa sama meningkatkan daya keterlihatan pendapatan kumpulan antara satu hingga dua tahun akan datang.
Firma penyelidikan itu berkata, kontrak itu melibatkan kerja-kerja mekanikal dan elektrikal bagi sebuah stesen pendaratan pengguna (CLS) 132kV untuk sebuah pusat data.
"Kontrak itu merangkumi kerja-kerja bekalan, pemasangan, ujian dan pentauliahan sistem mekanikal dan elektrikal.
"Projek bermula pada 7 September 2025 dan disasarkan untuk siap serta siap dihidupkan menjelang 10 Mac 2026," katanya dalam satu nota kajian.
ARTIKEL BERKAITAN: CBH Engineering terima kontrak RM31.4 juta bagi kerja-kerja kejuruteraan pencawang pusat data di Johor
PublicInvest berkata, setakat ini, jumlah kontrak terkumpul bagi tahun kewangan 2025 telah mencecah RM432 juta, iaitu 96% daripada sasaran pengisian semula buku pesanan tahunan kumpulan sebanyak RM450 juta.
Katanya, buku tempahan terkini berjumlah RM481.4 juta, meningkat 6.5% berbanding sebelumnya.
Segmen kejuruteraan mekanikal dan elektrikal, dijangka kekal sebagai penyumbang utama kepada hasil dan keuntungan kumpulan.
"Pada masa sama, CBH sedang memperluaskan tumpuannya dengan membida projek 33kV dan 132kV daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB), sebagai usaha membina asas pendapatan yang lebih mampan dan berulang untuk jangka panjang," katanya. - DagangNews.com








