KUALA LUMPUR 4 Dis – Wasco Bhd dijangka terus mengekalkan prestasi positif bagi tempoh terdekat susulan pembayaran kontrak baharu bernilai AS$150 hingga AS$200 juta daripada Technip Energies, menurut Maybank Investment Bank (Maybank IB).
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan Beli terhadap saham Wasco dengan sasaran harga RM1.10 sesaham, meningkat daripada RM1.00 sebelum ini, berdasarkan anggaran PER FY26E sebanyak 7 kali.
“Nilai kontrak Wasco bagi FY25 hingga FY27 dijangka berada pada RM2.9 bilion, RM2.5 bilion dan RM3 bilion dengan pertumbuhan EPS FY26E dijangka meningkat 11 peratus.
“Wasco dijangka membayar dividen sesaham (DPS) 5.7 sen bagi FY26E, bersamaan hasil dividen 6.1 peratus, sekali gus memberikan sokongan kepada harga saham.
“Dengan tambahan kontrak baharu tersebut, buku pesanan semasa syarikat kini berjumlah RM3.3 bilion, yang dilihat dapat menyokong kesinambungan pendapatan dan keuntungan jangka pendek, walaupun prospek sektor tenaga global sederhana,” kata Maybank IB dalam nota kajiannya.
Wasco juga dijangka berpotensi menjadi syarikat tunai bersih pada FY27E, menjadikan kedudukannya lebih kukuh dari segi kewangan.
Maybank IB berkata, projek modular pra-pasang ini adalah sebahagian daripada usaha syarikat dalam projek tenaga global berskala besar, yang menyokong margin keuntungan stabil dan keyakinan pelabur terhadap sahamnya.
Semalam, Wasco Berhad mengumumkan anak syarikatnya di Singapura iaitu WS Engineering & Fabrication Pte. Ltd memperoleh kontrak membina dan memasang modul untuk loji industri milik syarikat kejuruteraan dari Itali, iaitu Technip Energies.
Kontrak tersebut melibatkan pembinaan dan pemasangan modul pra-rakit secara menyeluruh berdasarkan pengukuran semula, dengan tempoh pelaksanaan dijangka selama 37 bulan.
Nilai kontrak dijangka menjana pendapatan antara AS$150 juta hingga AS$200 juta, bersamaan RM619.4 juta hingga RM825.8 juta (berdasarkan kadar pertukaran AS$1 = RM4.12) sepanjang tempoh kontrak.- DagangNews.com








