KUALA LUMPUR 5 Sept – Citaglobal Berhad mengumumkan konsortium yang dianggotai oleh Citaglobal Renewable Energy Sdn Bhd, Abu Dhabi Future Energy Company PJSC (Masdar) dan Tiza Global Sdn Bhd telah menerima surat pemberitahuan daripada Suruhanjaya Tenaga Malaysia untuk membangunkan loji solar fotovolta terapung berkapasiti 200MW di Empangan Chereh, Kuantan, Pahang.
Loji solar terapung tersebut, apabila siap kelak, bakal menjadi fasiliti terbesar seumpamanya di Asia Tenggara, mengatasi penanda aras semasa iaitu Loji Solar Terapung Cirata 145MWac di Indonesia yang turut dibangunkan Masdar.

Masdar merupakan antara syarikat tenaga boleh diperbaharui yang berkembang paling pantas di dunia, dengan peranan penting dalam visi sifar bersih Emiriah Arab Bersatu.
Syarikat itu membawa kepakaran luas dalam pembangunan serta operasi loji solar terapung berskala besar.
Sehingga akhir 2024, Masdar memiliki kapasiti tenaga boleh diperbaharui mencecah 51 gigawatt dengan pelaburan ekuiti berjumlah USD8 bilion bagi tahun tersebut sahaja.

Loji di Empangan Chereh akan meliputi kawasan permukaan air seluas 750 ekar dengan kapasiti penjanaan melebihi 300MWp (200MWac).
Ia dijangka menghasilkan purata 433 gigawatt-jam (GWh) elektrik bersih setahun, cukup untuk menyalurkan tenaga kepada lebih 100,000 kediaman di Malaysia.
Menurut Suruhanjaya Tenaga, inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha meningkatkan kapasiti tenaga boleh diperbaharui dan memastikan bekalan tenaga berterusan di negara ini.
Pada Januari lalu, Suruhanjaya Tenaga telah menjemput syarikat serta konsortium berkelayakan untuk menyertai bidaan terbuka di bawah program LSS PETRA 5+.
Daripada 13 pembida yang disenarai pendek dengan jumlah kapasiti 1,975MW, hanya Citaglobal dipilih sebagai konsortium tunggal bagi projek solar terapung terbesar Malaysia berkapasiti 200MW.
Surat pemberitahuan yang diterima tertakluk kepada pelbagai syarat, termasuk pemeteraian perjanjian pembelian tenaga solar (PPA) selama 21 tahun bersama Tenaga Nasional Berhad.
Loji tersebut dijangka mula beroperasi secara komersial pada 30 November 2027.
Kerjasama ini membina kesinambungan daripada Perjanjian Rangka Kerja Pembangunan Bersama yang ditandatangani antara Citaglobal dan Masdar semasa COP28 di Dubai pada 2023.

Pengerusi Eksekutif dan Presiden Citaglobal, Tan Sri Dr. Mohamad Norza Zakaria berkata, penganugerahan projek ini mengukuhkan komitmen syarikat terhadap pembangunan infrastruktur mampan yang sejajar aspirasi sifar bersih negara menjelang 2050.
“Kerjasama dengan Masdar, peneraju global tenaga boleh diperbaharui, memastikan projek ini direalisasikan dengan keupayaan bertaraf dunia di samping menyumbang kepada keselamatan tenaga dan ketahanan ekonomi negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Masdar, Mohamed Jameel Al Ramahi berkata, ia adalah projek pertama syarikat itu di Malaysia serta pembangunan solar terapung terbesar di dunia setakat ini.
“Pencapaian ini membuktikan kepakaran Masdar dalam solar terapung dan kedudukan kami sebagai rakan tenaga bersih yang dipercayai di rantau ini,” katanya.
Beliau menegaskan kerjasama dengan Citaglobal, Tiza Global dan kerajaan Malaysia akan membantu merealisasikan pelaksanaan peta jalan tenaga boleh diperbaharui negara.
Selain menyumbang kepada penjanaan tenaga bersih, projek ini turut mewakili penggunaan tanah yang lebih efisien serta keseimbangan ekologi melalui pengoptimuman ruang takungan sedia ada.
Ia juga dijangka merangsang peluang pekerjaan di Pahang, memperkukuh kebolehpercayaan tenaga serantau serta menyokong matlamat kelestarian di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR). - DagangNews.com








