KUALA LUMPUR 1 Ogos - KNM Group Bhd menerusi KNM Europa BV akan melupuskan keseluruhan pegangan ekuitinya dalam FBM Hudson Italian SPA kepada SymbEx GmbH dan Terragarda GmbH pada harga 19.50 juta euro.
Kumpulan itu berkata, lembaga pengarah telah mengambil kira keadaan kewangan keseluruhan FBM Hudson Italian, walaupun mencatatkan pulangan menggalakkan kepada keuntungan pada suku keempat 2024 dan suku pertama 2025, masih memerlukan suntikan modal yang besar dan segera.
"Modal ini penting untuk penyusunan semula hutang secara menyeluruh, menambah modal kerja bagi menyokong saluran tender yang besar, dan membiayai inisiatif pertumbuhan masa depan.
"Lembaga mengakui sumber kewangan tersebut tidak tersedia di peringkat KNM buat masa ini memandangkan usaha penyusunan semula yang sedang dijalankan,” katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.
KNM berkata pelupusan yang dicadangkan terhadap FBM Hudson Italian dianggap sebagai satu inisiatif penting dan strategik.
Ia bertujuan bukan sahaja membuka nilai kepada pemegang saham KNM, tetapi juga memastikan kelangsungan operasi dan kewangan jangka panjang FBM Hudson Italian di bawah pemilikan baharu yang mempunyai kapasiti kewangan kukuh dan hala tuju strategik yang jelas.
Pelupusan yang dicadangkan terhadap FBM Hudson Italian disusun sebagai satu pelan pengambilalihan dan penyusunan semula modal secara menyeluruh, yang mencerminkan nilai perusahaan keseluruhan sebanyak 8 juta euro.
“Untuk mengelakkan kekeliruan, bayaran tunai sebanyak 8 juta euro dan pengambilalihan hutang antara syarikat FBM Hudson Italian sebanyak 11.50 juta euro, yang secara keseluruhannya berjumlah 19.50 juta euro, akan menjadi jumlah keseluruhan pertimbangan pelupusan bagi pelupusan yang dicadangkan,” katanya.
Sebagai reaksi kepada tawaran tersebut, KNM Europa telah memberikan tempoh rundingan eksklusif selama 60 hari kepada SymbEx dan Terragarda.
“Tempoh ini bertujuan membolehkan pembeli menjalankan penilaian wajar (due diligence) secara menyeluruh dan memudahkan rundingan bagi perjanjian jual beli yang muktamad,” katanya.- DagangNews.com








