KMI Tawau dan Rusleeya Healthcare bekerjasama tingkatkan kesihatan pekerjaan di Sabah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KMI Tawau dan Rusleeya Healthcare bekerjasama tingkatkan kesihatan pekerjaan di Sabah

Gabungan kerjasama KMI Tawau dan Rusleeya Healthcare tingkatkan kesihatan pekerjaan di Sabah
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 22 Julai – KMI Tawau Medical Centre menjalin Kerjasama strategik dengan Rusleeya Healthcare Sdn Bhd dalam menyediakan perkhidmatan audiometri dan spirometri mudah alih di bawah inisiatif Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) di Sabah.

 

Melalui Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai, Rusleeya Healthcare akan menyediakan peralatan ujian audiometri mudah alih serta tenaga profesional terlatih untuk menjalankan saringan pendengaran di lokasi pelanggan, manakala KMI TMC akan meneruskan peranannya sebagai penyedia utama bagi penilaian kesihatan pekerjaan yang lain, termasuk pemeriksaan fizikal, saringan penglihatan, ujian air kencing dan darah, serta X-ray.

 

Kedua-dua pihak juga telah bersetuju untuk bekerjasama rapat dalam aspek perancangan, penjadualan dan pelaksanaan perkhidmatan dengan KMI TMC bertindak sebagai pusat rujukan utama kepada para pelanggan serta pengurusan kes secara menyeluruh.

 

Majlis memeterai MoU itu disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan di Tawau, baru-baru ini.

 

Beliau berkata, kerjasama yang terjalin itu adalah langkah proaktif dalam memperkasa sistem penjagaan kesihatan pekerjaan di negeri Sabah, terutamanya bagi sektor industri dan perusahaan yang semakin berkembang di rantau ini.

 

“Usaha ini akan memperluaskan capaian perkhidmatan OSH yang komprehensif dan patuh peraturan, seterusnya meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan pekerja di pelbagai sektor industri di Sabah dan kawasan sekitar,” katanya.

 

KMI Tawau Medical Centre merupakan sebahagian daripada rangkaian KMI Healthcare, yang turut mengendalikan empat lagi hospital di Semenanjung Malaysia — iaitu di Kuantan, Kuala Terengganu, Selangor dan Kuala Lumpur.

 

Rangkaian ini terkenal dengan komitmen terhadap penyampaian perkhidmatan penjagaan kesihatan yang berkualiti tinggi dan menyeluruh kepada masyarakat.- DagangNews.com