KUALA TERENGGANU 29 Sept – KMI Kuala Terengganu Medical Centre menjadi hospital pertama di bawah rangkaian KMI Healthcare yang menggabungkan rawatan moden dan pemeliharaan nilai spiritual melalui inisiatif hospital mesra ibadah.
Konsep itu memastikan pesakit, keluarga dan kakitangan hospital dapat merasai suasana yang tenang, bersih, mesra dan selesa untuk menunaikan ibadah tanpa mengira latar belakang agama.
Ketua Pegawai Eksekutif KMI Healthcare, Dr. Rayney Azmi Ali berkata, inisiatif ini telah dibangunkan sejak 2021 dan diperkemaskan melalui pelbagai usaha strategik.
“Hospital Mesra Ibadah mencerminkan kepercayaan KMI Healthcare bahawa rawatan terbaik bukan sahaja merawat jasmani tetapi juga menjaga kesejahteraan rohani.
“Usaha ini telah mendapat pengiktirafan antarabangsa melalui Healthcare Asia Awards 2023 bagi kategori Patient Care Initiative of The Year dan Service Delivery Innovation Initiative of The Year,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pelancaran di KMI Kuala Terengganu Medical Centre itu disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri Terengganu, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Tambahnya, KMI Healthcare juga bekerjasama dengan Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) untuk membangunkan rangka kerja hospital patuh syariah.
“Selain itu, kita juga sedang membuat persediaan untuk mendapatkan pensijilan MS ISO 1900:2014 – Standard Malaysia bagi sistem pengurusan kualiti berteraskan Syariah.
“Ini akan menjadikan hospital rangkaian KMI sebagai rujukan dalam perkhidmatan berasaskan Syariah di Malaysia dan rantau ini,” katanya.
Sementara itu, Dr Muhammad Khalil berkata, inisiatif yang dilaksanakan itu selaras dengan prinsip Maqasid Syariah, menekankan pemeliharaan agama (hifz al-din), nyawa (hifz al-nafs) dan akal (hifz al-‘aql).
“Apabila pesakit diberi ruang untuk menunaikan ibadah dengan selesa, ia mempercepat pemulihan dan memberi ketenangan jiwa kepada pesakit dan keluarga.
“Konsep ini turut menyediakan ruang yang sesuai (silent room) untuk penganut agama lain menunaikan ibadah,” katanya.

Hospital Mesra Ibadah menjadi mercu tanda baharu KMI Healthcare dalam menggabungkan kecanggihan perubatan moden dengan nilai ihsan, empati dan hormat kepada semua lapisan masyarakat.
Usaha ini dijangka menjadi model rujukan hospital lain di Malaysia dalam memperluas perkhidmatan kesihatan berteraskan rahmat untuk sekalian alam.
Pelancaran turut dihadiri barisan kepimpinan TDM dan KMI Healthcare, wakil kerajaan negeri, pengamal perubatan, serta rakan strategik yang menyokong misi KMI Healthcare untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan negara.
KMI Healthcare, segmen kesihatan di bawah TDM Berhad mengendalikan lima hospital komuniti pakar di seluruh negara:
1. KMI Kelana Jaya Medical Centre
2. KMI Kuantan Medical Centre
3. KMI Kuala Terengganu Medical Centre
4. KMI Taman Desa Medical Centre
5. KMI Tawau Medical Centre
Setiap hospital menekankan privasi dan keselesaan pesakit dengan lokasi strategik mudah diakses. KMI Healthcare komited menyediakan perkhidmatan kesihatan berkualiti tinggi, cekap dan berpatutan. - DagangNews.com








