KUALA LUMPUR 27 Mei - Keuntungan bersih Kuala Lumpur Kepong Bhd (KLK) bagi separuh kedua tahun kewangan 2025 (2HFY25) dijangka meningkat, disokong oleh pengeluaran minyak sawit yang lebih baik dan ketiadaan kerugian daripada dagangan derivatif.
Menurut CIMB Securities, KLK telah mengurangkan jangkaan pertumbuhan hasil buah tandan segar (BTS) bagi tahun kewangan 2025 kepada pertumbuhan sederhana satu digit.
Namun, syarikat itu masih yakin prestasi separuh kedua tahun kewangan ini akan kekal kukuh.
"Pengeluaran pada separuh kedua berpotensi menyumbang sekitar 52% daripada jumlah tahunan, yang dapat membantu meningkatkan keuntungan, walaupun harga minyak sawit mentah (MSM) kini lebih rendah dan mungkin memberi sedikit kesan," katanya dalam satu nota kajian.
CIMB Securities turut melaporkan, KLK mencatatkan penurunan 2.5 peratus tahun ke tahun dalam kos pengeluaran MSM di kilang kepada RM2,100 setiap tan dalam 1HFY25, dipacu oleh harga baja yang lebih rendah.
"Keuntungan daripada aktiviti penapisan juga dijangka kekal rendah. Bahagian perniagaan sarung tangan masih mencatatkan kerugian, sementara gangguan bekalan gas telah menjejaskan kecekapan kilang oleokimia dalam suku ketiga tahun kewangan 2025," jelasnya.
Firma penyelidikan itu turut memaklumkan, KLK mengalami kerugian derivatif sebanyak RM252 juta dalam tempoh separuh pertama FY25, yang sebahagian besarnya berpunca daripada kerugian belum direalisasi akibat lindung nilai dolar Amerika Syarikat berjumlah RM143 juta.
CIMB Securities mengekalkan saranan 'pegang' terhadap saham KLK dengan harga sasaran tidak berubah iaitu RM21.50. - DagangNews.com








