KLCCP Stapled Group catat hasil RM410.3 juta pada 2QFY25, umum dividen interim 9.2 sen | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KLCCP Stapled Group catat hasil RM410.3 juta pada 2QFY25, umum dividen interim 9.2 sen

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 28 Ogos – KLCCP Stapled Group merekodkan hasil sebanyak RM410.3 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2025 (2QFY25) manakala keuntungan sebelum cukai (PBT) meningkat kepada RM233.6 juta, disokong oleh prestasi kukuh segmen runcit dan hotel selain kos pembiayaan lebih rendah.

 

Keuntungan boleh agih kepada pemegang ekuiti (PATMI) turut meningkat 4.9% tahun ke tahun kepada RM200.5 juta. Bagi separuh pertama tahun 2025, kumpulan merekodkan hasil RM817.2 juta dengan PBT berjumlah RM467.1 juta, mencerminkan manfaat daripada kerja naik taraf aset serta langkah penstrukturan semula pembiayaan.

 

Dividen interim sebanyak 9.20 sen seunit stapled security diumumkan bagi suku tersebut, menjadikan jumlah pembayaran bagi separuh pertama kepada 18.40 sen.

 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Sr Mohd Salem Kailany berkata, segmen runcit merekodkan hasil RM137.9 juta dengan PBT meningkat kepada RM109.5 juta, didorong sewaan asas lebih tinggi dan kadar penghunian lebih kukuh di Menara 3 PETRONAS. 

 

“Suria KLCC pula memperkukuh tarikan dengan jenama baharu seperti Benihana, Pal Gae Ook, The Shirt Bar dan Aesop, di samping penganjuran kempen Golden Ticket serta Picnic in the Park yang meningkatkan jumlah pengunjung.

 

“Segmen hotel yang diwakili Mandarin Oriental Kuala Lumpur juga kembali mencatat keuntungan dengan PBT RM0.8 juta daripada hasil RM50.6 juta. Prestasi ini disokong oleh pembukaan semula dewan baharu, penyegaran semula MO Club serta tempahan kumpulan lebih kukuh daripada acara korporat dan mesyuarat menteri ASEAN,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Segmen pejabat kekal stabil melalui kontrak sewaan jangka panjang di bawah model Triple Net Lease, menjana hasil RM146.4 juta dengan PBT RM120.8 juta. 

 

Sementara itu, segmen perkhidmatan pengurusan menyumbang hasil RM95.7 juta dan PBT RM21.1 juta, disokong kerja-kerja penyelenggaraan terancang serta pendapatan tempat letak kereta yang lebih tinggi.

 

Tambahnya, pelaburan proaktif kumpulan dalam penambahbaikan aset sepanjang separuh pertama tahun ini telah mengukuhkan lagi daya saing syarikat.

 

“Kami yakin kumpulan akan terus mencatat prestasi berdaya tahan pada separuh kedua 2025, disokong oleh portfolio kukuh, asas yang mantap serta inisiatif strategik berterusan yang meletakkan kami pada landasan pertumbuhan mampan,” katanya. - DagangNews.com