KKM, MCMC mulakan akses kesihatan luar bandar melalui dron dan teknologi digital di Sabah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KKM, MCMC mulakan akses kesihatan luar bandar melalui dron dan teknologi digital di Sabah

Pelaksanaan projek perintis penghantaran ubat menggunakan dron dimulakan di Sabah, menjadikan Klinik Kesihatan Tawau sebagai pusat utama bagi penghantaran ubat ke dua Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) berhampiran
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 23 Julai – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menjalin kerjasama strategik bagi memacu transformasi sistem kesihatan negara melalui pendigitalan perkhidmatan dengan tumpuan khas kepada kawasan luar bandar dan pedalaman.

 

Inisiatif ini merangkumi pelaksanaan projek perintis penghantaran ubat menggunakan dron di Sabah, menjadikan Klinik Kesihatan Tawau sebagai pusat utama bagi penghantaran ubat ke dua Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) berhampiran.

 

Sabah dipilih berdasarkan liputan rangkaian 4G dan 5G yang stabil serta cabaran geografi yang kompleks, menjadikannya lokasi ideal untuk pendekatan inovatif dalam memastikan kesinambungan rawatan kesihatan bagi komuniti yang tinggal dipedalaman.

 

 

 

 

 

 

Sebanyak lapan inisiatif utama bakal dilaksanakan di bawah kolaborasi ini, antaranya penyediaan prasarana komunikasi untuk kesihatan masa depan, penggunaan sistem Rekod Perubatan Elektronik (EMR) di klinik desa dan komuniti, penyediaan kiosk telekesihatan di pusat NADI dan penghantaran ubat menggunakan dron ke kawasan sukar diakses.

 

Inisiatif lain ialah pengukuhan keselamatan siber di fasiliti kesihatan, penyaluran geran bagi pengadaptasian sistem EMR, penubuhan hab inovasi hospital pintar dan penglibatan Malaysia dalam platform kesihatan digital global.

 

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, projek ini turut menyasarkan peluasan rangkaian e-Kesihatan melalui 1,099 pusat NADI di seluruh negara, yang bakal berfungsi sebagai gerbang digital di luar bandar.

 

"Penduduk tempatan berpeluang mendapatkan konsultasi maya melalui kiosk telekesihatan tanpa perlu hadir ke hospital atau klinik fizikal.

 

"Teknologi pengkomputeran awan dan platform konsultasi maya akan digunakan bagi menyokong penghantaran ubat, rawatan susulan dan pemantauan kesihatan secara berterusan yang akan dapat menangani jurang akses ketara di kawasan pedalaman," katanya.

 

test

 

Tambahnya, kolaborasi strategik itu sejajar dengan misi “1 Individu, 1 Rekod” ke arah pengukuhan ekosistem kesihatan digital negara.

 

“KKM amat mengalu-alukan kerjasama ini kerana ia mampu memperkukuh sistem kesihatan awam dengan menawarkan penyelesaian inovatif dan mesra rakyat. Ia signifikan untuk mendepani cabaran semasa, khususnya di kawasan yang sukar mendapat akses,” katanya.

 

 

 

 

 

 

Beliau turut menegaskan usaha itu penting tatkala negara berdepan isu sistemik seperti peningkatan populasi warga emas, beban penyakit tidak berjangkit (NCD) dan ketidakseimbangan nisbah pesakit kepada petugas kesihatan.

 

"Langkah ini dijangka memberi impak besar kepada kehidupan rakyat serta menyokong aspirasi Kerajaan MADANI untuk menjadikan Malaysia sebagai peneraju kesihatan digital serantau dan hab inovasi kesihatan global," katanya. - DagangNews.com