KUALA LUMPUR 7 April : KJTS Group Bhd menerusi anak syarikatnya di Thailand, KJTN Engineering Co Ltd dilantik sebagai kontraktor oleh Central Hua Hin Beach Resort Co Ltd bagi projek penambahbaikan loji air sejuk di Centara Grand Beach Resort & Villas Hua Hin, sebuah resort bertaraf lima bintang di Hua Hin, Thailand.
KJTS berkata, kontrak itu adalah di bawah skim pembiayaan, pengubahsuaian, operasi, penyelenggaraan dan pemindahan (ROT) untuk tempoh 20 tahun.
Menurut perjanjian tersebut, KJTN Engineering akan membiayai kerja-kerja pengubahsuaian yang berjumlah THB194.98 juta (RM25.3 juta) untuk Fasa 1, dan THB15.52 juta untuk Fasa 2.
"KJTN Engineering akan mengenakan yuran tetap bulanan sebanyak THB1.47 juta dan THB1.56 juta setelah Fasa 1 dan Fasa 2 masing-masing selesai, serta yuran berubah-ubah bulanan berdasarkan jumlah air sejuk yang dibekalkan.
"Jumlah yuran tetap sepanjang 20 tahun akan berjumlah THB372.56 juta," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.
Kerja-kerja pengubahsuaian akan dimulakan pada 4 April 2025, dengan Fasa 1 dijangka selesai pada 31 Mei 2026, dan Fasa 2 akan disiapkan dalam tempoh 24 bulan selepas itu.
Perkhidmatan O&M dan bekalan air sejuk dijangka bermula pada 1 Jun 2026 dan dijangka selesai pada 31 Mei 2046.- DagangNews.com








