KJTS, Envicool bangunkan sistem penyejukan pusat data ASEAN | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KJTS, Envicool bangunkan sistem penyejukan pusat data ASEAN

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 16 Jun - KJTS Group Berhad (KJTS), melalui anak syarikatnya Green AI Sdn Bhd, menjalin kerjasama strategik dengan Shenzhen Envicool Technology Co Ltd bagi memajukan infrastruktur penyejukan pusat data di rantau ASEAN.

 

Kerjasama itu memberi tumpuan kepada pembangunan sistem penyejukan canggih yang menjimatkan tenaga bagi memenuhi keperluan pusat data moden yang semakin berkembang.

 

Ia juga menyokong usaha menjaga alam sekitar dan mencapai matlamat alam sekitar, sosial dan tadbir urus( ESG) yang semakin penting di peringkat serantau.

 

Projek-projek akan dilaksanakan menggunakan model Build-Operate-Transfer (BOT) dan Retrofit-Operate-Transfer (ROT). 

 

Green AI, yang ditubuhkan di bawah KJ Technical Services Sdn Bhd, akan menggunakan kepakaran KJTS dalam model BOT dan ROT untuk mengurus kerja kejuruteraan, pembinaan dan operasi loji penyejukan.

 

Envicool pula akan membekalkan teknologi penyejukan terkini serta menyediakan sokongan teknikal dan latihan.

 

Envicool adalah syarikat yang berpusat di Shenzhen, China dan tersenarai di Bursa Saham Shenzhen. 

 

Ia terkenal di peringkat global dalam teknologi kawalan suhu tepat, dengan lebih empat juta sistem penyejukan telah dipasang di seluruh dunia dan membantu mengurangkan lebih 20 juta tan karbon.

 

KJTS berkata, kerjasama tersebut adalah langkah penting dalam rancangan syarikat untuk menjadi penyedia utama sistem penyejukan pintar dan mesra alam di Asia Tenggara.

 

"Kedua-dua pihak akan bekerjasama menawarkan sistem penyejukan pusat data berdasarkan prestasi sebenar, yang diukur mengikut kos setiap jam (USD/RTh), bagi menjamin penjimatan kepada pelanggan," katanya dalam satu kenyataan susulan pemeterai Memorandum Persefahaman (MoU) antara dua syarikat.

 

Sementara itu, Envicool menyatakan komitmen untuk memperluas teknologi mampan ke rantau ASEAN, sambil memanfaatkan kepakaran tempatan Green AI dalam pelaksanaan projek.

 

Kerjasama tersebut dijangka membuka laluan kepada peralihan infrastruktur pusat data yang lebih cekap tenaga dan mesra alam, sejajar dengan pertumbuhan pesat ekonomi digital di Asia Tenggara. - DagangNews.com