KUALA LUMPUR 9 April - KIP Real Estate Investment Trust (KIP REIT) membeli empat hartanah runcit bernilai RM118 juta di Kuala Selangor dan Kuantan, Pahang, menandakan peluasan strategik ke kawasan pinggir bandar.
Pembelian itu dijangka meningkatkan portfolio hartanahnya kepada RM1.5 bilion, lebih dekat dengan sasaran untuk mencapai RM2 bilion dalam aset di bawah pengurusan menjelang 2027.
Empat hartanah tersebut adalah KIPMall Desa Coalfields di Kuala Selangor bernilai RM62 juta dan tiga hartanah di Kuantan iaitu pasar raya Lotus’s Indera Mahkota bernilai RM39 juta, tiga unit pejabat kedai dua tingkat bernilai RM12 juta dan sebuah bangunan komersial dua tingkat bernilai RM5 juta.
Pemegang amanah KIP REIT, Pacific Trustees Berhad berkata, pembelian berkenaan adalah sebahagian strategi Right of First Refusal (ROFR) kumpulan, mencerminkan fokus untuk memperoleh aset berkualiti dengan penyewaan yang stabil dan pendapatan sewa.
"Perjanjian ROFR ini memastikan saluran aset yang jelas dan konsisten daripada penaja, mengukuhkan strategi pertumbuhan jangka panjang KIP REIT," katanya dalam satu kenyataan.
KIPMall Desa Coalfields, yang memulakan operasi pada November 2020, sebuah pusat runcit milik bebas yang dilengkapi dengan panel solar fotovoltaik di bumbung, mencatatkan kadar pengisian sebanyak 99% dan menempatkan pelbagai penyewa termasuk kedai makanan dan minuman, pakaian, perkhidmatan, serta pasar raya utama.
Lotus’s Indera Mahkota pula adalah pasar raya satu tingkat berstatus pajakan, yang sepenuhnya disewa kepada Lotus’s Stores (Malaysia) Sdn Bhd melalui perjanjian pajakan jangka panjang.

Sementara itu, tiga unit pejabat kedai dua tingkat dijangka mendapat manfaat daripada aliran trafik tempatan, manakala bangunan komersial dua tingkat disewa sepenuhnya oleh cawangan KFC pandu lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif KIP REIT, Valerie Ong berkata, pembelian berkenaan adalah langkah strategik yang bukan sahaja mengembangkan jejak runcit syarikat, tetapi juga memperkukuh kehadiran di zon pertumbuhan pinggir bandar yang padat penduduk.
"Campuran penyewa yang kuat dan struktur pajakan jangka panjang mampu menstabilkan pendapatan sewa kami sambil terus melabur dalam aset yang memberi nilai tambah," jelasnya.
Beliau menambah, pihaknya memberi tumpuan kepada pusat membeli-belah yang mesra pengguna serta boleh memenuhi keperluan pelanggan dengan barangan keperluan harian yang mampu milik.
"Ini meletakkan kami pada kedudukan yang baik untuk menghadapi kitaran ekonomi sambil mengekalkan kadar pengisian yang tinggi.
"Pendekatan ini memberikan kepelbagaian portfolio dan pulangan yang konsisten kepada pemegang unit kami," ujarnya.
Setelah selesai, pengambilalihan baharu tersebut akan memperluaskan keluasan boleh sewa bersih KIP REIT sebanyak kira-kira 12% kepada 2.85 juta kaki persegi.
KIP REIT kini memiliki 14 hartanah, termasuk hartanah industri, hartanah runcit dan KIPMall, dengan jumlah keluasan boleh sewa bersih melebihi 2.54 juta kaki persegi serta penilaian hartanah keseluruhan sekitar RM1.4 bilion. - DagangNews.com








