Kimlun dijangka terima manfaat daripada projek perluasan rel berskala besar di Singapura, kata Kenanga | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kimlun dijangka terima manfaat daripada projek perluasan rel berskala besar di Singapura, kata Kenanga

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Ogos - Syarikat pembinaan dan kejuruteraan, Kimlun Corporation Berhad dijangka menerima manfaat daripada projek perluasan rel berskala besar di Singapura yang dijadual bermula dalam tempoh terdekat, kata Kenanga Research.

 

Katanya, keupayaan syarikat dalam bidang pembuatan konkrit pratuang memberikan kelebihan kompetitif, khususnya selepas kejayaan dalam membekalkan komponen kepada beberapa projek rel utama di republik itu sebelum ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, permintaan untuk konkrit pratuang di Singapura dijangka meningkat seiring rancangan kerajaan negara itu untuk memperluas sistem MRT dan LRT serta pelaksanaan projek rel rentas sempadan seperti RTS Link antara Johor Bahru dan Woodlands. 

 

"Kimlun mempunyai rekod prestasi kukuh dalam pembekalan struktur konkrit pratuang untuk laluan Thomson-East Coast Line, Downtown Line, dan beberapa projek infrastruktur rel lain di Singapura.

 

"Dengan kilang pembuatan konkrit yang beroperasi di Johor, Kimlun berada dalam posisi logistik yang sangat menguntungkan – membolehkan penghantaran komponen dengan lebih pantas dan kos efektif ke Singapura. 

 

"Ini bukan sahaja mengurangkan kos penghantaran tetapi juga membolehkan syarikat memenuhi keperluan jadual pembinaan yang ketat, satu keperluan penting dalam projek infrastruktur berskala besar di luar negara," katanya.

 

Kenanga Research berkata, pengurusan kumpulan turut menyasarkan peluang daripada projek rel dan infrastruktur lain yang diumumkan oleh Singapura, termasuk pembangunan laluan MRT baru dan pemodenan fasiliti pengangkutan awam. 

 

Selain itu katanya, syarikat juga sedang aktif membida kontrak dalam sektor pembinaan awam dan swasta di Malaysia termasuk projek Pan Borneo Sarawak Fasa 2, naik taraf jalan di Johor, dan projek perumahan mampu milik yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).

 

Setakat 2QFY24, Kimlun mencatat buku tempahan kerja tertinggi dalam sejarah sebanyak RM3.48 bilion, hasil kejayaan memperoleh projek-projek besar termasuk pembangunan kediaman bertingkat tinggi di Shah Alam dan Johor Bahru serta projek naik taraf Lebuhraya Senai-Desaru. 

 

Firma penyelidikan itu berkata, bahagian pembuatan syarikat dijangka menjadi antara pemacu pertumbuhan utama memandangkan tumpuan yang semakin meningkat terhadap infrastruktur rel di rantau ini. 

 

Tambahan pula, pengalaman teknikal, kapasiti pengeluaran yang stabil dan hubungan perniagaan sedia ada dengan pihak berkuasa dan kontraktor utama di Singapura memberi kelebihan kepada Kimlun berbanding pesaing lain.

 

"Kami mengekalkan saranan "outperform" dengan harga sasaran (TP) RM1.51 sesaham," katanya.- DagangNews.com