Kilang kertas Jingxing bernilai RM1.9 bilion mula beroperasi di Selangor | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kilang kertas Jingxing bernilai RM1.9 bilion mula beroperasi di Selangor

Gambar/Jingxing Holdings (M) Sdn Bhd
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 29 April - Pengeluar kertas global, Jingxing Holdings (M) Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Zhejiang Jingxing Paper Joint Stock Co Ltd dari China, melancarkan Fasa 2 operasi kilangnya di Banting, Selangor, melibatkan pelaburan bernilai RM1.9 bilion.

 

Pelaburan itu dijangka meningkatkan kapasiti pengeluaran tahunan kertas Kraft Liner sebanyak 600,000 tan metrik, sekali gus mengukuhkan lagi peranan Malaysia dalam rantaian bekalan industri kertas global.

 

Dengan pelaburan keseluruhan kini mencecah RM3 bilion, Fasa 2 merangkumi penggunaan teknologi automasi canggih, sistem penjanaan kuasa haba bersepadu, rawatan air, serta sistem pengurusan air sisa yang mesra alam.

 

Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han berkata, pelaburan tersebut menunjukkan betapa pentingnya Selangor sebagai sebahagian daripada rantaian bekalan dunia.

 

Beliau berkata, projek itu juga menyokong usaha negeri dalam mewujudkan peluang pekerjaan dan membangunkan bakat tempatan, menjadikan Selangor lokasi tumpuan pelabur antarabangsa.

 

"Kilang berkenaan dijangka mewujudkan 500 peluang pekerjaan dan menyumbang lebih RM45 juta setahun kepada perbelanjaan operasi tempatan. 

 

"Sebanyak 70% daripada hasil pengeluarannya akan dieksport, meningkatkan keupayaan eksport Malaysia dalam sektor kertas industri," katanya dalam satu kenyataan.

 

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Promosi dan Pemudahcara Pelaburan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Sivasuriyamoorthy Sundara Raja pula berkata, pelaburan itu mencerminkan komitmen Malaysia terhadap pertumbuhan industri yang mampan.

 

"Selain keupayaan pengeluaran, kilang ini juga memiliki kejuruteraan alam sekitar termasuk rawatan air kitar semula dan pemulihan tenaga melalui sistem penjanaan bersama," ujarnya.

 

Katanya, Malaysia menawarkan persekitaran pelaburan yang stabil dan berasaskan undang-undang, yang menarik minat pelabur strategik seperti Jingxing.

 

Pengarah dan Timbalan Pengerusi Jingxing Malaysia, Wang Zhiming berkata, pelaburan itu adalah langkah penting dalam rancangan pertumbuhan global syarikat.

 

"Lokasi strategik Malaysia dan sokongan kuat Kerajaan Persekutuan serta negeri menjadi faktor utama kami meneruskan kerjasama ini," katanya.

 

Tambah beliau, tumpuan kilang baharu tersebut adalah kecekapan perkhidmatan, pengambilan pekerja tempatan dan peluang rantaian bekalan, sambil memenuhi permintaan global terhadap rumusan pembungkusan yang lestari.

 

Untuk rekod, sektor pembuatan kertas Malaysia menarik pelaburan RM877.9 juta pada tahun lalu, termasuk RM578.4 juta daripada pelabur asing.

 

Perkembangan tersebut menunjukkan trend semakin banyak pengeluar antarabangsa memilih Malaysia sebagai lokasi perniagaan strategik di Asia Tenggara. - DagangNews.com