KUALA LUMPUR 18 Ogos – Kilang pengeluaran kenderaan elektrik (EV) milik Proton Holdings Berhad di Tanjung Malim, Perak kini hampir siap sepenuhnya, hanya enam bulan selepas majlis pecah tanah berlangsung pada Februari lalu.
Kilang itu dijangka memulakan pengeluaran berskala penuh pada September 2025 dengan kemajuan keseluruhan projek berada pada 86.9 peratus, termasuk pembinaan infrastruktur bangunan mencapai 90.4 peratus dan pemasangan peralatan pada 83.5 peratus.
Kilang baharu itu akan menjadi pusat pengeluaran pelbagai model EV yang dibina di atas platform Global Modular Architecture (GMA) dimulakan dengan Proton e.MAS 7 diikuti Proton e.MAS 5 yang kini dipamerkan dalam siri jelajah seluruh negara.
Ketua Kejuruteraan Pembuatan Proton, Wan Yousry Mohamed berkata, kilang itu mempunyai kapasiti permulaan 20,000 unit setahun dan boleh ditingkatkan sehingga 45,000 unit bagi memenuhi permintaan pasaran tempatan dan eksport secara berperingkat.
“Susun atur kilang membolehkan setiap barisan pengeluaran ditambah stesen modular untuk menampung pelbagai model, manakala kawasan logistik direka untuk pengembangan masa hadapan dengan sistem storan dan aliran logistik yang dioptimumkan.
“Infrastruktur penting seperti sistem utiliti, laluan pengendalian bahan, serta alat kebolehkesanan digital termasuk Manufacturing Execution System (MES) dan Warehouse Management System (WMS) telah tersedia untuk menyokong pengembangan skala masa hadapan tanpa perlu direka semula,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Ketika ini, badan kereta pertama telah diuji di kilang itu bagi memastikan kesediaan peralatan sebelum pengeluaran berskala penuh dimulakan.
Tambahnya, lebih 30 pekerja bukan eksekutif telah dilatih sepenuhnya bagi menyokong operasi pengeluaran dan pembangunan kilang.
“Ini akan menjana lebih 200 peluang pekerjaan baharu untuk komuniti tempatan.
“Proton turut menjalinkan kerjasama strategik dengan Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS) bagi menyelaraskan latihan amali dan silibus akademik dengan keperluan industri,” katanya.
Berbeza dengan barisan pengeluaran kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE), kilang EV direka khas untuk pemasangan bateri, keselamatan voltan tinggi dan proses ujian elektrik, dengan susun atur yang menampilkan zon khusus, keselamatan dipertingkat dan barisan fleksibel.
Beliau berkata, rakan kongsi Proton iaitu Geely turut memberikan panduan teknikal, bantuan pemasangan serta ujian percubaan dan menyediakan latihan di luar negara bagi memastikan kilang selari dengan piawaian pengeluaran EV global.
“Kilang ini melambangkan transformasi Proton dan komitmen kami terhadap masa depan mampan dan berteknologi tinggi, serta meletakkan asas kepimpinan Malaysia dalam landskap EV serantau,” katanya.- DagangNews.com








