KUALA LUMPUR 3 Okt - Khazanah Nasional Berhad menegaskan mereka tidak mengadakan sebarang perbincangan dengan China berhubung projek pemprosesan nadir bumi di negara ini, sekali gus menafikan laporan media, kata Ketua Pegawai Pelaburannya, Datuk Hisham Hamdan.
“Kami tidak berbincang dengan sesiapa,” kata Hisham dalam satu temu bual bersama Bloomberg TV yang dikendalikan Haslinda Amin di Singapura ketika ditanya mengenai laporan yang menyebut Khazanah berkemungkinan bekerjasama dengan sebuah syarikat milik kerajaan China.
Khazanah, yang menguruskan kira-kira AS$33 bilion (RM91.71 bilion) aset, kini giat menjalankan kajian dalam pelbagai bidang termasuk nadir bumi, bateri dan kenderaan elektrik, jelas Hisham.

Pada masa ini, Lynas Malaysia Sdn Bhd, anak syarikat Lynas Rare Earths Ltd yang berpangkalan di Australia, mengendalikan satu-satunya kemudahan pemprosesan nadir bumi di negara ini, yang juga merupakan loji pemprosesan nadir bumi tunggal terbesar di dunia, terletak di Taman Perindustrian Gebeng, Kuantan.
Loji tersebut menghasilkan bahan nadir bumi terpisah berkualiti tinggi untuk dieksport ke pasaran pembuatan di Asia, Eropah dan Amerika Syarikat (AS).
Pada 27 Ogos 2025, Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong berkata, kerajaan komited untuk membangunkan serta menarik pelabur berpotensi bagi memperkukuh aktiviti pengeluaran sepanjang rantaian bekalan unsur nadir bumi (REE) Malaysia.
Malaysia dianggarkan memiliki 16.1 juta tan unsur nadir bumi bukan radioaktif dengan nilai pasaran sekitar RM809.6 bilion.- DagangNews.com








