Keuntungan pengeluar plastik Malaysia diramal merosot akibat peningkatan kos, kata Kenanga Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Keuntungan pengeluar plastik Malaysia diramal merosot akibat peningkatan kos, kata Kenanga Research

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 9 April - Keuntungan pengeluar pembungkusan plastik di Malaysia dijangka merosot antara 10% hingga 20% disebabkan oleh peningkatan kos serta lebihan kapasiti dalam industri.

 

Kenanga Research berkata, syarikat dalam sektor itu berdepan dengan peningkatan kos operasi selain bahan plastik akibat kenaikan gaji minimum dan kenaikan tarif elektrik yang dijangka pada hujung tahun ini.

 

Jelasnya, para pengeluar juga terkesan dengan harga minyak mentah dan bekalan bahan polimer utama membuat plastik atau resin yang kekal tinggi, sekali gus menghalang kenaikan kos yang signifikan dalam masa terdekat.

 

"Tahun lalu, pengeluar pembungkusan plastik menghadapi cabaran besar bukan sahaja kerana permintaan global yang perlahan, tetapi juga kerana persaingan sengit akibat terlalu banyak kapasiti pengeluaran.

 

"Ini berlaku kerana banyak pengeluar tempatan masih menggunakan kilang lama mereka walaupun sudah mengeluarkan produk baharu yang lebih nipis," kata firma penyelidikan itu dalam satu nota kajian.

 

Kenanga Research mengubah penarafan sektor tersebut daripada 'overweight' kepada 'neutral'.

 

Ia juga menambah, persaingan daripada pemain tempatan dan yang berpusat di China dijangka berterusan dan mungkin semakin sengit pada masa depan. - DagangNews.com