KUALA LUMPUR 11 Sept - Keuntungan IHH Healthcare Berhad diramal terjejas disebabkan kos pelaburan dua hospital baharu baharu di Turkiye meskipun mencatatkan hasil yang lebih kukuh daripada peningkatan jumlah pesakit serta intensiti rawatan.
Kenanga Research berkata, keuntungan bersih teras kumpulan pada 2QFY25 merosot 1.4% kepada RM419 juta berbanding suku sebelumnya, terutamanya akibat kos permulaan operasi Hospital Acibadem Kartal serta kos pra-pembukaan Hospital Acibadem Vitosha di Turkiye yang masing-masing dibuka pada Februari dan Mei tahun ini.
Katanya, perbelanjaan awal yang tinggi bagi hospital baharu itu bukan sahaja menekan margin keuntungan jangka pendek, malah meningkatkan risiko pulangan modal yang lebih panjang sekiranya kadar penggunaan katil tidak berkembang seperti dirancang.
"Walaupun jumlah kemasukan pesakit meningkat di kebanyakan pasaran utama – Malaysia (+3%), Singapura (+1%) dan India (+6%) – keuntungan tetap terjejas berikutan kos berkaitan pelaburan baharu di Turkiye.
"Lebih membimbangkan, hospital yang baru beroperasi biasanya mengambil masa beberapa tahun untuk mencapai tahap penggunaan optimum.
"Ini bermakna IHH perlu menanggung kos operasi tinggi sebelum hasil benar-benar sepadan, sekali gus menekan keuntungan jangka pendek," katanya dalam satu nota kajian.
Langkah IHH memperluas rangkaian hospital Acibadem di Turkiye mencerminkan strategi pertumbuhan agresif tetapi Kenanga Research memberi amaran, kos pra-pembukaan dan operasi awal yang besar boleh menjejaskan profil kewangan sekiranya pulangan tidak seiring dengan jangkaan.
Katanya, walaupun asas permintaan perkhidmatan kesihatan kekal kukuh di rantau Asia dan Eropah, langkah peluasan ke Turkiye kini menjadi serampang dua mata bagi mengukuhkan jenama Acibadem, tetapi pada masa sama menekan keuntungan kumpulan melalui kos permulaan yang besar.
Sementara itu, firma penyelidikan itu berkata, pada 2QFY25, kumpulan itu melakukan perubahan struktur dalam model penjagaan kesihatan di Malaysia dengan peningkatan tumpuan kepada rawatan penjagaan harian serta kecenderungan ke arah lebih banyak kes pembedahan selain mengurangkan kes perubatan.
Sebagai contoh, katanya, pembedahan pundi hempedu dan angiogram kini boleh dilakukan melalui rawatan penjagaan harian dan tidak lagi memerlukan kemasukan ke dalam wad.
"Perubahan ini sebahagian besarnya kerana banyak prosedur yang sebelum ini dijalankan sebagai pesakit dalaman sebenarnya boleh dilaksanakan secara rawatan penjagaan harian.
"Secara umum, rawatan penjagaan harian merujuk kepada prosedur perubatan berjadual, sama ada pembedahan atau bukan pembedahan, yang hanya memerlukan tempoh kemasukan singkat (biasanya kurang 24 jam), dengan proses kemasukan, rawatan, dan discaj dilakukan pada hari yang sama," katanya.
Kenanga Research mengekalkan saranan "outperform" dengan harga sasaran (TP) RM8.11 sesaham.- DagangNews.com








