Keuntungan DKSH Malaysia pada 1Q25 disokong kekuatan jenama sendiri, penjimatan kos pengedaran - HLIB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Keuntungan DKSH Malaysia pada 1Q25 disokong kekuatan jenama sendiri, penjimatan kos pengedaran - HLIB

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 15 Mei - DKSH Holdings (Malaysia) Bhd mencatat prestasi kukuh dalam 1Q25, apabila keuntungan bersih teras meningkat sebanyak 49.1% berbanding suku sebelumnya dan 19.9% berbanding 2024 kepada RM58.6 juta.

 

Pendapatan syarikat juga naik 8.3% kepada RM2.22 bilion, didorong oleh permintaan tinggi semasa musim perayaan serta sumbangan kukuh daripada segmen barangan pengguna dan penjagaan kesihatan.

 

Hong Leong Investment Bank (HLIB) berkata, prestasi itu melebihi jangkaan apabila mencatat 36% daripada unjuran tahunannya dan 40% daripada anggaran penganalisis lain.

 

Jelasnya, semua bahagian perniagaan DKSH mencatatkan pertumbuhan dengan barangan pengguna naik 10%, penjagaan kesihatan naik 6% dan segmen lain naik 0.3%, menjadikan pendapatan keseluruhan meningkat 8%.

 

Kata HLIB, segmen penjagaan kesihatan juga meningkat kerana pertambahan pelanggan baharu dan pertumbuhan pelanggan sedia ada.

 

"Keuntungan bersih syarikat meningkat kepada RM58.6 juta, disumbang oleh keuntungan tinggi daripada produk jenama sendiri dan penjimatan kos dalam proses pengedaran," katanya dalam satu nota kajian.

 

Ia turut mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham DKSH dengan harga sasaran RM6.95 sesaham, yang memberikan pulangan keseluruhan berpotensi sebanyak 42.5%, termasuk dividen.

 

"Walaupun prestasi DKSH mungkin perlahan sedikit dalam suku akan datang disebabkan faktor musim perayaan, HLIB masih yakin syarikat ini memiliki potensi besar untuk jangka panjang," jelasnya.

 

HLIB dalam pada itu percaya, DKSH akan terus mencatat keuntungan kerana rakyat Malaysia dijangka berbelanja lebih dengan bantuan dasar kerajaan seperti pengeluaran Akaun 3 KWSP, kenaikan gaji penjawat awam dan kenaikan gaji minimum.

 

"Dengan dagangan pada nisbah harga kepada pendapatan hadapan (PE) hanya 4.8 kali, saham DKSH masih dianggap murah berbanding syarikat lain dalam sektor yang sama," ujarnya.

 

Tambahnya, DKSH sesuai untuk pelaburan kerana syarikat berkenaan menjual pelbagai jenis produk dari barangan premium hingga keperluan asas, mempunyai ramai pelanggan dan operasi yang semakin cekap.

 

HLIB menjangka prestasi DKSH akan terus kukuh kerana rakyat masih berbelanja dan syarikat pula semakin cekap dalam pengurusan operasinya. - DagangNews.com