KUALA LUMPUR 23 Mei - Cahya Mata Sarawak Bhd (CMSB) mencatatkan penurunan keuntungan bersih sebanyak 33.8% kepada RM25.34 juta bagi 1QFY2025, berbanding RM38.25 juta pada tempoh sama tahun lalu.
Syarikat berkata, prestasi lemah itu disumbangkan oleh kerugian pertukaran wang asing tidak direalisasi sebanyak RM5.75 juta, berbanding keuntungan RM16.31 juta pada suku pertama 2024.
"Sumbangan daripada syarikat bersekutu dan usaha sama juga merosot 41.5% kepada RM12.45 juta daripada RM21.27 juta setahun lalu.
"Pendapatan suku tahunan juga menurun 11.3% kepada RM246.13 juta daripada RM277.37 juta, disebabkan oleh penurunan hasil dalam segmen peralatan minyak dan simen," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia.
Dalam kenyataan berasingan, CMSB menjelaskan, musim hujan yang teruk dan berpanjangan di Sarawak telah menjejaskan operasi kumpulan pada suku pertama.
Jelasnya, kerugian tukaran mata wang asing menyebabkan segmen fosfat rugi lebih besar, manakala segmen peralatan minyak terjejas kerana aktiviti pelantar yang perlahan.
"Segmen pembangunan hartanah juga rugi kerana tiada keuntungan daripada jualan tanah seperti tahun lalu, manakala keuntungan pelaburan turut menurun," tambahnya.
Namun, CMSB memaklumkan, prestasi segmen simen dan penyelenggaraan jalan menunjukkan peningkatan.
"Bagi baki tahun ini, syarikat menjangka cuaca akan bertambah baik dan membantu menyambung semula aktiviti pembinaan.
"CMSB juga yakin dengan prospek pembinaan di Sarawak, selain kejatuhan nilai dolar Amerika yang dijangka dapat mengurangkan kos bekalan," ujarnya. - DagangNews.com








