KUALA LUMPUR 10 April - Sektor hartanah diramal kekal berdaya tahan tahun ini walaupun terdapat ketidaktentuan ekonomi global, kata RHB Research.
Katanya, keyakinan itu disokong oleh segmen perindustrian dan kediaman, yang dijangka memacu pertumbuhan.
Walaupun faktor global seperti dasar tarif timbal balik Amerika Syarikat (AS) dan kesannya terhadap perdagangan dan sentimen telah melemahkan sentimen pasaran, firma penyelidikan itu berkata, sifat pasaran hartanah Malaysia yang bertumpu kepada pasaran domestik seharusnya mengurangkan impak itu.
"Dasar tarif timbal balik AS dan potensi kesan kepada ekonomi dan perdagangan globalnya telah menjejaskan sentimen pasaran, menyebabkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang lebih lemah di Malaysia.
"Bagaimanapun, sektor hartanah dipacu pasaran domestik," katanya dalam satu nota kajian.
RHB Research menekankan, beberapa pemaju telah melancarkan pembangunan utama dan tawaran berkaitan pusat data pada suku pertama, yang boleh meningkatkan keyakinan pelabur.
Antaranya ialah projek pembangunan Sunway Bhd berhampiran Stesen Sistem Transit Rapid (RTS) Bukit Chagar, kerjasama UEM Sunrise Bhd dengan GuocoLand yang berpangkalan di Singapura bagi membangunkan taman perindustrian di Gerbang Nusajaya di Johor, dan pelupusan tanah Eco World Development Group Bhd kepada pengeluar komponen solar di Senai dan pusat data di Selangor.
“Ia menunjukkan, Malaysia masih berada pada kedudukan yang baik untuk menarik pelaburan pusat data dengan Iskandar Malaysia terus menjadi destinasi pelaburan langsung asing (FDI) di bawah Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ),” katanya.
Katanya, walaupun pengambilan untung baru-baru ini berikutan prestasi cemerlang sektor itu sejak dua tahun lalu, asas jangka panjang kekal kukuh.
"Diakui, memandangkan prestasi cemerlang sektor itu sejak dua tahun lalu, pelabur mengambil untung besar dalam sektor hartanah apabila sentimen pasaran berubah menurun sejak beberapa bulan lalu," katanya.
RHB Research menegaskan, Malaysia terus menjadi destinasi menarik sebagai hab infrastruktur digital, dengan prospek Iskandar Malaysia kekal utuh.
Firma penyelidikan itu meramalkan jualan hartanah berkembang sederhana antara 3% dan 5% tahun ini, berikutan kenaikan 3% tahun ke tahun tahun lepas.
“Ini adalah tahun keempat berturut-turut jumlah jualan agregat kekal melebihi paras RM20 bilion, menunjukkan kebanyakan pemaju telah dapat mengekalkan jualan kukuh mereka sejak 2021,” katanya.
Penilaian juga menjadi lebih menarik, dengan sektor itu didagangkan pada diskaun 56% untuk menilai semula nilai aset bersih, berbanding kira-kira 46% semasa kemuncak Julai 2024 dan Januari 2025.
“Pada pandangan kami, pemaju harus mengambil peluang mengubah dan mendapat manfaat daripada agenda ekonomi digital yang didorong oleh kerajaan, serta trend global yang mengelilingi kecerdasan buatan (AI).
"Projek pembangunan, logistik, pusat data dan tawaran tanah yang telah diumumkan oleh pemaju setakat ini adalah pertambahan nilai, dan harus mengukuhkan pendapatan jangka panjang," kata RHB Research.- DagangNews.com








