KUALA LUMPUR 9 April - Ketidakstabilan harga minyak akibat pengeluaran tinggi diyakini meningkatkan pendapatan Dialog Group didorong pertambahan permintaan bagi perkhidmatan penyimpanan, kata Maybank Investment Bank (Maybank IB).
Katanya, terminal penyimpanan kumpulan kini beroperasi pada kapasiti lebih 90% pada suku kedua 2025 dan Dialog berada kedudukan baik bagi memanfaatkan permintaan penyimpanan yang semakin meningkat.
Firma penyelidikan itu berkata, kadar penyimpanan dijangka meningkat memberi manfaat kepada terminal tangki kumpulan.
"Pelanggan syarikat boleh mengunci kontrak jangka panjang pada kadar yang lebih tinggi, pada masa ini antara SG$6 hingga SG$6.5 setiap meter padu sebulan, sekali gus meningkatkan aliran tunai dan keuntungan Dialog," katanya dalam satu nota kajian.
Minggu lalu, OPEC+ mengumumkan akan meningkatkan pengeluaran minyak secara beransur-ansur kepada 2.2 juta tong sehari (mbpd) mulai April 2025 hingga September 2026.
Bagaimanapun, peningkatan secara beransur-ansur mungkin bergantung pada keadaan pasaran yang berkembang.
Maybank IB berkata, harga minyak yang lebih rendah boleh memberi kesan negatif kepada hasil huluan Dialog.
Katanya, aset penerokaan dan pengeluaran (E&P) syarikat, yang termasuk 50.01% pegangan dalam Pan Orient Energy (Siam) (POES) dan kepentingan dalam kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) D35, D21, dan J4, boleh menyaksikan pengurangan pendapatan disebabkan harga komoditi yang lebih rendah.
Pada masa ini, pendapatan Dialog untuk FY24 dianggarkan 40% daripada industri huluan, 55% dari pertengahan dan 5% daripada operasi hiliran.
"Walaupun menghadapi cabaran dalam segmen huluan, kedudukan kukuh syarikat dalam sektor penyimpanan dan pertengahan boleh mengimbangi beberapa tekanan daripada penurunan harga minyak," katanya.
Firma penyelidikan itu berkata, Dialog perlu memenangi kontrak terminal tangki baharu yang besar untuk menilai semula harga sahamnya kerana ini akan meningkatkan portfolio pendapatan berulangnya.
"Kami mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) RM2.34 sesaham," katanya. - DagangNews.com








