KUALA LUMPUR 13 Mei - Pendirian tegas Presiden China, Xi Jinping dalam rundingan perdagangan dengan Amerika Syarikat (AS) akhirnya membuahkan hasil apabila Presiden AS, Donald Trump, bersetuju memenuhi sebahagian besar tuntutan Beijing.
Hasil rundingan dua hari di Geneva menyaksikan kedua-dua kuasa besar dunia itu mencapai persetujuan penting untuk menurunkan tarif import secara besar-besaran selama 90 hari.
AS menurunkan tarif terhadap barangan China daripada 145% kepada 30%, manakala China mengurangkan tarif ke atas kebanyakan barangan AS kepada 10%.
Langkah berkenaan bukan sahaja menenangkan pasaran global, termasuk kenaikan dalam pasaran saham AS dan China, tetapi juga menunjukkan bagaimana tekanan ekonomi dan diplomasi dari Beijing berjaya mempengaruhi pendirian Washington.
Penganalisis berkata, perjanjian tersebut adalah kemenangan strategik untuk Xi.
"Trump, yang sebelum ini menaikkan tarif ke paras tertinggi, kini dilihat berundur akibat kebimbangan terhadap inflasi domestik dan tekanan politik menjelang pilihan raya di AS," jelas satu kenyataan oleh Bloomberg.
Walaupun perjanjian itu hanya sah selama 90 hari, ia memberi ruang penting kepada China dan AS untuk merundingkan pelan jangka panjang demi menstabilkan perdagangan global.
Xi, yang enggan tunduk kepada tekanan AS, kini dilihat lebih kukuh di pentas antarabangsa, sementara Trump pula cuba membina semula hubungan dengan pesaing ekonominya itu.
AS dan China semalam mencapai persetujuan untuk mengurangkan tarif perdagangan antara kedua-dua negara selama 90 hari.
Keputusan tersebut diumumkan selepas dua hari rundingan di Switzerland yang melibatkan Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent dan Timbalan Perdana Menteri China, He Lifeng.
Timbalan Pengarah Institut Ekonomi Akademi Sains Sosial China, Song Hong berkata, China tidak akan bertolak ansur dalam perkara asas seperti kawalan ke atas syarikat milik kerajaan, walaupun berdepan tekanan dari AS.
Beliau menegaskan, struktur ekonomi dan politik negara itu adalah 'garisan merah' yang tidak boleh disentuh dalam mana-mana rundingan.
"Bagaimanapun, masih banyak ruang untuk perbincangan. Isu seperti tarif, hak harta intelek dan subsidi boleh dirundingkan jika kedua-dua pihak serius mahu mencapai kesepakatan," ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perdagangan Akademi Sains Sosial China, Dong Yan pula menyambut baik perkembangan rundingan tersebut, namun mengingatkan agar tidak terlalu yakin kerana Trump pernah menaikkan tarif secara mengejut sebelum ini.
"China telah belajar dari pengalaman ketika pusingan pertama perang perdagangan dahulu. Ketika itu, rundingan tarif sering berubah-ubah dan tidak mencapai kata putus dalam masa singkat," jelasnya.
Beliau menjangka, pengurangan tarif kali ini akan membantu China mencapai sasaran pertumbuhan ekonomi sekitar 5% tahun ini.
Ketua Pakar Ekonomi China Morgan Stanley, Robin Xing memberi amaran, walaupun penangguhan tarif memberi ruang kepada pertumbuhan eksport, penyelesaian jangka panjang masih sukar dicapai kerana hubungan dua hala AS-China sangat kompleks.
"Situasi ini perlu ditangani dengan strategi yang berhati-hati," katanya.
Tambahnya, pengilang China mungkin akan mempercepatkan penghantaran dan pengeluaran dalam tempoh penangguhan 90 hari ini, sekali gus boleh membantu pertumbuhan ekonomi dalam jangka pendek.
Pakar China di Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa Washington, Scott Kennedy berkata, tindakan Trump mengurangkan tarif hanya berlaku kerana tindak balas tegas dari China.
Katanya, selain mengenakan tarif balas, China juga melaksanakan kawalan eksport dan beberapa langkah lain yang memberi kesan kepada AS.
"Pendekatan agresif China telah memperkuku kedudukan politik Xi di dalam negara dan menaikkan imej diplomatiknya di peringkat antarabangsa.
"Beliau kini dilihat sebagai pemimpin yang tegas dan tidak mudah tunduk kepada tekanan luar," ujarnya. - DagangNews.com








