Ketegangan perdagangan AS-China, pelabuhan di Malaysia terima manfaat trend integrasi ekonomi - Kenanga | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ketegangan perdagangan AS-China, pelabuhan di Malaysia terima manfaat trend integrasi ekonomi - Kenanga

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Sept - Pelabuhan di Malaysia menjadi penerima manfaat daripada trend integrasi ekonomi yang berlaku dalam perdagangan global akibat ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China serta ketidaktentuan geopolitik di Asia Barat.

 

Kenanga Research berkata, keadaan itu sekali gus membuka peluang kepada negara seperti Malaysia, Singapura, India dan Vietnam dalam mengukuhkan kedudukan mereka dalam rantaian bekalan global.

 

Katanya, Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dalam laporan April 2025 memberitahu, perdagangan dunia pada tahun ini akan menguncup 0.2% berbanding unjuran asal pertumbuhan 3.0%, sebelum pulih secara sederhana kepada 2.5% pada 2026. 

 

Faktor utama penyusutan itu adalah disebabkan kenaikan tarif, dasar perdagangan yang tidak menentu dan risiko konflik berpanjangan di Asia Barat.

 

Firma penyelidikan itu berkata, Malaysia berada di kedudukan strategik sebagai negara penghubung yang berdagang rentas blok geopolitik, sekali gus berpotensi mengurangkan risiko pemecahan perdagangan global. 

 

"Pertumbuhan pesat ini disokong lokasi strategik Malaysia di laluan Asia-Eropah, infrastruktur pelabuhan yang moden, serta peranan aktif syarikat tempatan dalam sektor logistik dan pembuatan bernilai tambah.

 

"Trend integrasi ekonomi ini akan terus memacu permintaan terhadap pelabuhan Westports di Klang dan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) di Johor yang menjadi pintu masuk utama perdagangan Asia-Eropah.

 

"Pengalihan laluan kapal dari Terusan Suez ke Tanjung Harapan menyebabkan perjalanan lebih panjang, sekali gus mengurangkan kekerapan panggilan kapal di pelabuhan utama. Namun, kedudukan Malaysia yang strategik di tengah-tengah laluan tersebut memberi peluang kepada Westports dan PTP untuk menjadi hab penghubung pilihan syarikat perkapalan antarabangsa," katanya dalam satu nota kajian.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "neutral" terhadap sektor itu dan memberikan penarafan "outperform" kepada Westports dengan harga sasaran (TP) RM6.00 sesaham.

 

Westport menawarkan perkhidmatan nilai tambah (VAS) yang lebih tinggi, perkhidmatan kargo ke kapal menerusi kerjasama baharu dengan Gemini, serta sumbangan lebih tinggi daripada Ocean Alliance.

 

Kenanga Research mengekalkan unjuran pertumbuhan jumlah kontena pada kadar satu digit rendah bagi tahun 2025 di bawah tarif 19% Trump untuk Malaysia, memandangkan kadar tarif tersebut pada asasnya sama dengan negara-negara Asia Tenggara lain.

 

"Kami menjangkakan keputusan kewangan 3QFY25 akan mengatasi 2QFY25 berikutan harga siling caj pelabuhan yang disemak semula telah mula berkuat kuasa pada 15 Julai 2025, dengan kawasan simpanan syarikat kini hampir mencapai kapasiti maksimum," katanya. - DagangNews.com