KUALA LUMPUR 11 April — Usaha memperkukuh keselamatan lapangan terbang negara terus diperkasa apabila seramai 15 pegawai dan 301 anggota Keselamatan Penerbangan (AVSEC) ditauliahkan secara rasmi menerusi Majlis Tamat Perbarisan Asas (Passing-Out Parade) yang berlangsung pada hari ini.
Pentauliahan itu menandakan satu langkah penting dalam usaha memperkukuh tahap keselamatan di 39 lapangan terbang di bawah seliaan Malaysia Airports, khususnya menjelang tanggungjawab negara sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dan Tahun Melawat Malaysia 2026.
Pengerusi Malaysia Airports, Dr Nungsari berkata, keutamaan sentiasa diberikan kepada aspek keselamatan penumpang dan lapangan terbang.
"Malaysia Airports turut melabur dalam teknologi keselamatan terkini selain memberi penekanan kepada pembangunan modal insan bagi memastikan pengalaman perjalanan yang selamat dan lancar," katanya dalam satu kenyataan.
Majlis itu disempurnakan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan turut disertai Nungsari serta pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM), pengurusan tertinggi Malaysia Airports serta ahli keluarga dan tetamu jemputan.

Majlis tersebut juga bertujuan memberikan pengiktirafan rasmi kepada barisan hadapan keselamatan penerbangan sebagai individu penting dalam mengawasi dan melindungi infrastruktur kritikal negara.
Dengan pelantikan itu, kekuatan keseluruhan AVSEC Malaysia Airports kini mencecah 3,743 anggota menjadikannya pasukan polis bantuan korporat terbesar di Malaysia.
Kesemua pegawai dan anggota baharu itu telah melalui latihan intensif selama enam bulan yang terbahagi kepada dua fasa utama.
Fasa pertama berlangsung selama dua bulan di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) dan menumpukan kepada asas ketenteraman awam serta disiplin keselamatan.
Fasa kedua pula dijalankan selama empat bulan di Pusat Latihan Malaysia Airports dan merangkumi latihan teknikal serta "On-Job Training" selama dua bulan bagi membiasakan pelatih dengan situasi sebenar di lapangan.
Silibus latihan yang dilalui adalah menyeluruh meliputi kemahiran menembak, seni mempertahankan diri, kawad, dan latihan fizikal yang bertujuan meningkatkan daya tahan dan disiplin.
Pelatih turut didedahkan kepada pengetahuan undang-undang polis dan undang-undang penerbangan awam bagi memastikan pematuhan terhadap piawaian keselamatan yang ditetapkan.
Majlis itu turut menyaksikan penghargaan diberikan kepada pelatih cemerlang melalui anugerah khas seperti Anugerah Terbaik Akademik, Anugerah Terbaik Latihan Luar dan Anugerah Keseluruhan. - DagangNews.com








