Kenaikan harga kondom dijangka berterusan meskipun kos menurun, beri kelebihan kepada Karex bermula FY27 – CIMB Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kenaikan harga kondom dijangka berterusan meskipun kos menurun, beri kelebihan kepada Karex bermula FY27 – CIMB Securities

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 11 Mei – Karex Bhd dijangka terus mencatat kerugian pada separuh kedua tahun kewangan 2026 (FY26) berikutan persekitaran operasi yang masih mencabar, sebelum kembali pulih dan mencatat keuntungan pada FY27, menurut CIMB Securities Sdn Bhd.

 

Firma penyelidikan itu berkata unjuran bagi FY26 hingga FY28 telah mengambil kira prospek jangka pendek yang masih lemah bagi syarikat pengeluar kondom terbesar dunia itu, namun arah pemulihan dijangka lebih jelas bermula FY27.

 

Walaupun berdepan tekanan jangka pendek, firma itu mengekalkan saranan “Beli” terhadap Karex Bhd dengan harga sasaran tidak berubah pada RM0.70, disokong oleh prospek pertumbuhan jangka panjang dalam sektor kesihatan intim global.

 

CIMB berkata penilaian tersebut turut mencerminkan pandangan bahawa saham Karex masih berada pada tahap “undemanding”, dengan dagangan pada 14.3 kali anggaran pendapatan CY2027, yang dilihat rendah berbanding potensi pertumbuhan keuntungan bersih teras sebanyak 57.6 peratus setahun bagi tempoh tiga tahun akan datang.

 

“Prospek jangka panjang Karex turut disokong oleh teknologi nitril yang dipatenkan serta hubungan bekalan OEM eksklusif dengan jenama kondom terbesar dunia yang membolehkan syarikat itu tetap menerima tempahan stabil sekurang-kurangnya selepas FY28.

 

“Selain itu, model perniagaan Karex turut mendapat manfaat daripada kedudukan sebagai pengeluar global utama dalam industri yang semakin mengalami penyusunan semula kapasiti.

 

“Bagaimanapun, Karex masih berdepan tekanan margin dalam tempoh terdekat akibat pengukuhan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat yang menjejaskan pendapatan eksport, selain peningkatan kos input,” kata CIMB Securities dalam nota kajiannya.

 

Menurutnya, ketegangan geopolitik termasuk konflik AS–Iran turut menyumbang kepada peningkatan kos bahan mentah seperti pembungkusan, minyak silikon serta logistik, sekali gus memberi tekanan tambahan kepada struktur kos syarikat.

 

Bagi mengurangkan kesan tersebut, Karex telah memulakan langkah pelarasan harga jualan secara berperingkat dengan kenaikan dianggarkan antara 20 hingga 25 peratus bagi produk sedia ada, bergantung kepada penerimaan pelanggan.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Kondom Karex naik harga 20-30 peratus akibat peningkatan kos minyak

 

CIMB berkata pelarasan harga ini dilaksanakan dalam keadaan industri yang semakin sengit, susulan pengurangan kapasiti oleh beberapa pengeluar utama serta pembatalan atau penarikan diri daripada tender akibat margin yang semakin tertekan.

 

Dalam masa sama, firma itu menjelaskan sebarang kenaikan harga jualan purata (ASP) akan diperkenalkan secara berhati-hati bagi mengekalkan hubungan pelanggan dan memastikan kesinambungan volum jualan dalam jangka sederhana.

 

Menurutnya, apabila harga baharu ini dimasukkan dalam kontrak dan senarai harga pelanggan, ia lazimnya bersifat “sticky” dan sukar diturunkan semula walaupun kos input kembali stabil, sekali gus membantu menetapkan semula paras harga industri.

 

CIMB turut berpandangan keadaan ini boleh memberi kesan positif kepada margin dalam jangka sederhana apabila gabungan harga jualan lebih tinggi dan tekanan kos yang semakin reda mula memberi impak kepada keuntungan.

 

“Apabila persekitaran makroekonomi dan kadar pertukaran mata wang menjadi lebih stabil, Karex berpotensi menikmati peningkatan keuntungan yang lebih ketara berikutan kesan gandaan daripada harga jualan yang lebih tinggi.

 

“Selain itu, Karex turut mempunyai tahap inventori bahan mentah antara tiga hingga enam bulan bagi komponen utama, bergantung kepada jenis bahan, yang bertindak sebagai penampan terhadap turun naik kos dan kadar pertukaran dalam tempoh terdekat,” katanya. - DagangNews.com