KUALA LUMPUR 3 Sept - IOI Corporation Berhad merekodkan kerugian bersih RM18 juta bagi tahun kewangan 2025 (FY25), dipengaruhi kerugian susut nilai sebanyak RM39.2 juta pada suku keempat, kata Public Investment Bank (PublicInvest).
Katanya, susut nilai itu berpunca daripada tahap penggunaan kilang sawit yang rendah walaupun baru beroperasi selama satu tahun setengah.
Firma penyelidikan itu berkata, jumlah pelaburan dalam kilang tersebut mencecah RM140 juta, merangkumi RM60 juta bagi pembelian tanah dan RM80 juta untuk harta, loji dan peralatan (PPE).
"Namun, kadar penggunaan yang jauh di bawah jangkaan mendorong kumpulan merekodkan susut nilai tersebut," katanya dalam satu nota kajian.
Walaupun berdepan cabaran ini, PublicInvest percaya, IOI Corporation kekal fokus kepada operasi perladangan huluan dengan aktiviti penanaman semula secara agresif di Sabah serta ladang muda di Indonesia telah mengurangkan purata umur ladang kumpulan kepada 12.2 tahun.
Pada masa yang sama, katanya, kadar penggunaan kilang penapisan berada pada sekitar 70%, manakala kilang oleokimia mencatatkan kadar penggunaan melebihi 60% pada FY25.
Firma penyelidikan itu berkata, meskipun susut nilai ini menjejaskan pendapatan dalam jangka pendek, strategi pertumbuhan jangka panjang IOI Corporation—yang berteraskan penanaman semula, produktiviti, dan kelestarian—dijangka mampu mengimbangi kesan tersebut pada masa hadapan.
Sementara itu, PublicInvest berkata, kumpulan itu menyasarkan pertumbuhan pengeluaran buah tandan segar antara 5% hingga 10% pada FY26.
Katanya, walaupun kawasan matang dijangka berkurangan akibat aktiviti penanaman semula yang agresif, hasil tanaman dijangka meningkat.
Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu memaklumkan, keperluan baja bagi enam bulan akan datang telah pun diperoleh, sekali gus mengurangkan tekanan kos meskipun harga baja dijangka meningkat.
"Kami mengekalkan saranan "neutral" dengan harga sasaran RM4.33 sesaham," katanya.- DagangNews.com








