Kerugian bersih MAA Group pada FY25 melebar kepada RM58.9 juta disebabkan hasil rendah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kerugian bersih MAA Group pada FY25 melebar kepada RM58.9 juta disebabkan hasil rendah

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 Ogos - Kerugian bersih MAA Group Berhad bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025 (FY25) melebar kepada RM58.9 juta berbanding RM4.77 juta pada tahun sebelumnya disebabkan hasil rendah dalam segmen pelaburan dan perkhidmatan pendidikan.

 

Kumpulan itu berkata, hasil pada FY25 juga menyusut kepada RM113.9 juta berbanding RM251.1 juta pada tahun lalu.

 

Katanya, segmen pelaburan mencatatkan penurunan hasil kepada RM1.8 juta berbanding RM2.4 juta pada FY24 dan ia disebabkan pendapatan dividen yang lebih rendah sebanyak RM100,000 berbanding RM900,000 pada FY24 yang sebahagiannya diimbangi pendapatan sewaan yang lebih tinggi sebanyak RM1.6 juta.

 

"Segmen perkhidmatan pendidikan mencatatkan pendapatan sebanyak RM26.6 jutapada FY25 susut sedikit berbanding RM27 juta pada FY24.

 

"Pendapatan ini terdiri terutamanya daripada yuran sekolah sebanyak RM22.5 juta (FY24: RM21.6 juta), yuran tuisyen dan kursus sebanyak RM2juta (FY24: RM2.2 juta), yuran peperiksaan sebanyak RM1.1 juta (FY24: RM1.3 juta) dan pendapatan lain sebanyak RM1 juta (FY24: RM1.5 juta)," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Mengulas mengenai prospek, kumpulan itu berkata, pihaknya berdepan tekanan pasaran dalam semua segmen teras termasuk hospitaliti, perkhidmatan kewangan, pendidikan dan pawagam.

 

Kerugian yang dicatatkan kumpulan itu mencerminkan pasaran yang mencabar, di samping kos yang lebih tinggi daripada inisiatif perniagaan yang sedang berjalan.

 

"Melangkah ke hadapan kami optimis dengan ekonomi Malaysia dijangka mengekalkan trajektori pertumbuhan sederhana pada tahun 2026, disokong permintaan domestik yang semakin baik, pemulihan sektor pelancongan, serta inisiatif awam-swasta yang menggalakkan inovasi dan kemampanan. 

 

"Walaupun ketidaktentuan masih wujud, perkembangan ini menyediakan persekitaran yang lebih menyokong untuk pemulihan perniagaan secara beransur-ansur," katanya.

 

Kumpulan itu berkata, pihaknya akan terus memberi tumpuan kepada kecekapan operasi, pengurusan sumber yang berhemah, dan penambahbaikan tawaran kepada pelanggan di seluruh segmen perniagaannya. 

 

Katanya, walaupun cabaran jangka pendek masih ada, pihaknya kekal komited mengukuhkan operasi teras, memulihkan keuntungan, serta mencipta nilai jangka panjang untuk para pemegang saham dan pihak berkepentingan. - DagangNews.com