KUALA LUMPUR 9 April - Kerjaya Prospek Group Bhd terus mengukuhkan kedudukannya dalam sektor pembinaan selepas berjaya memperoleh kontrak RM291 juta daripada Eastern & Oriental Bhd (E&O) sekali gus meningkatkan keyakinan pasaran terhadap prestasi syarikat itu bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 (FY25).
Penganalisis menjangkakan prestasi itu disokong oleh buku pesanan kukuh berjumlah RM4.3 bilion, selain RM2 bilion kerja pembinaan yang telah ditender, dan RM3 bilion projek pusat data menerusi usaha sama (JV) dengan Samsung C&T Corp.
Kenanga Research menaik taraf saranan saham kumpulan itu kepada “outperform” dengan harga sasaran (TP) RM2.10 sesaham.
Firma penyelidikan itu berkata, keyakinan terhadap keupayaan Kerjaya dalam menyempurnakan projek mengikut jadual, di samping menawarkan dividen yang kini melebihi 6%.
Ia turut menjangkakan syarikat akan memperoleh sehingga RM1.8 bilion kontrak sepanjang FY25.
Prestasi itu disokong oleh buku pesanan aktif berjumlah RM4.3 bilion yang dijangka akan menyokong kelangsungan kerja syarikat untuk tempoh tiga tahun akan datang.
Selain projek daripada E&O dan usaha sama dengan Samsung C&T, pendapatan juga akan dijana melalui Rivanis iaitu projek pembangunan semula selama tujuh tahun di Butterworth yang mana Kerjaya Prospek memegang 55% kepentingan.
RHB Research pula mengekalkan saranan “beli” dengan harga sasaran RM2.67, sambil menyatakan terdapat lebih banyak peluang kontrak daripada projek Pulau Andaman milik E&O yang menjadi sumber kontrak terbaharu diperoleh. E&O merancang untuk membangunkan hartanah bernilai RM3.8 bilion di mana nilai pembinaannya dianggarkan mencecah RM1.5 bilion.
Berdasarkan pelan pelancaran hartanah semasa, sekurang-kurangnya RM520 juta lagi projek pembinaan dijangka akan ditawarkan sepanjang FY25.
Philip Capital pula menjangkakan aliran kontrak akan kekal kukuh dipacu oleh saluran kerja yang stabil daripada E&O serta anak syarikat hartanah Kerjaya Prospek sendiri.
Antara projek hartanah akan datang termasuklah pembangunan dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM250 juta di Shah Alam, RM630 juta di Batu Kawan, dan RM430 juta di Damansara Damai.
Philip Capital juga mengekalkan saranan "beli" terhadap saham Kerjaya Prospek dengan TP tidak berubah sebanyak RM2.60 sesaham.- DagangNews.com








