Kerjasama PDRM-Kementerian Komunikasi wujudkan ruang digital selamat | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kerjasama PDRM-Kementerian Komunikasi wujudkan ruang digital selamat

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menerima cenderamata daripada Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain yang mengadakan mengadakan kunjugan hormat ke kementerian itu. - Gambar/FB Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR 16 Jun - Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menerima kunjungan hormat daripada Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain di Putrajaya, hari ini.

 

Pertemuan tersebut membincangkan pelbagai isu keselamatan semasa, terutamanya berkaitan ancaman jenayah siber, penyebaran berita palsu serta keperluan memperkukuhkan keselamatan dalam ruang digital negara.

 

“Saya amat menghargai keterbukaan, komitmen serta semangat kerjasama yang ditunjukkan oleh Tan Sri Razarudin dan seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM). 

 

"Sinergi antara Kementerian Komunikasi dan PDRM amat penting bagi memastikan persekitaran dalam talian negara kekal selamat, beretika, dan bebas daripada ancaman yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan selepas mengadakan pertemuan itu.

 

Beliau berkata, isu keselamatan digital perlu diberi perhatian serius memandangkan ia memberi kesan langsung kepada kestabilan sosial dan keselamatan negara.

 

fahmi

 

Fahmi turut mengucapkan penghargaan atas komitmen tinggi pihak PDRM dalam usaha berterusan mengekang jenayah siber dan penyebaran berita palsu yang semakin mencabar.

 

“Semoga Tan Sri Razarudin terus dikurniakan kesihatan yang baik dan dilindungi dalam setiap urusan demi terus berbakti kepada negara,” katanya.

 

Pertemuan ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan dalam memperkukuh kerjasama strategik antara agensi bagi menangani cabaran keselamatan digital secara lebih efektif. - DagangNews.com