KUALA LUMPUR 10 Okt – Institut Perhutanan Eropah (EFI) dan pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysian (MSPO) menjalin kerjasama untuk mengukuhkan amalan lestari, memastikan rantaian bekalan lebih telus dan mudah dijejak serta mengekalkan kepercayaan pasaran dunia terhadap minyak sawit Malaysia.
Memorandum Kerjasama tersebut ditandatangani oleh Pengarah EFI, Dr Robert Mavsar dan Ketua Pegawai Eksekutif MSPO, Hafizin Tajudin.
Hafizin berkata, kerjasama itu memberi tumpuan kepada pembangunan sistem rantaian bekalan bebas penebangan hutan dengan penekanan khusus terhadap penyertaan pekebun kecil dan pembekal buah tandan segar (BTS).
“Gabungan kepakaran saintifik dan antarabangsa EFI bersama piawaian kebangsaan MSPO yang inklusif dan berwibawa dijangka menetapkan penanda aras baharu bagi rantaian bekalan masa hadapan yang lebih inklusif, bebas penebangan hutan, bertanggungjawab dan diyakini pasaran global.
“Kerjasama strategik ini memberi tumpuan kepada tiga bidang utama iaitu memperkukuh dasar dan strategi komoditi lestari, membangunkan sistem teknikal dari ladang hingga ke pelabuhan serta mempercepatkan pertukaran ilmu dan inovasi melalui projek perintis, kajian perbandingan dan platform pembelajaran antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan.

EFI dan MSPO juga akan meneroka inisiatif baharu bagi memperluas penyertaan pekebun kecil dan peniaga BTS melalui kaedah digital serta model pematuhan berkelompok.
Usaha ini akan memastikan pekebun kecil Malaysia terus berhubung dengan pasaran premium global.
Hafizin berkata, kerjasama akan memastikan MSPO bersedia menghadapi sebarang keperluan global masa hadapan.
“Dengan kerjasama EFI, kami akan memanfaatkan kepakaran antarabangsa untuk memperkukuh sistem keterkesanan jejak MSPO, meningkatkan integriti data dan memperluas model pematuhan inklusif.
“Usaha ini akan meletakkan minyak sawit Malaysia di hadapan dalam memenuhi peraturan global yang sentiasa berubah serta permintaan pengguna terhadap produk lestari dan bertanggungjawab,” katanya.

Sementara itu, Dr Mavsar pula berkata, MSPO menunjukkan ketelusan dalam menilai dan menambah baik sistem kawalannya secara berterusan.
“Pengalaman Malaysia dengan piawaian kemampanan mandatori yang diterajui kerajaan kini mendapat perhatian negara pengeluar lain,” katanya.
Kerjasama ini dibina daripada asas analisis teknikal di bawah projek KAMI yang dibiayai EU pada 2024 dan akan diteruskan di bawah projek Malaysia Smallholder Project yang turut dibiayai EU.
Ia diselia oleh Kementerian Perladangan dan Komoditi bersama Delegasi EU di Kuala Lumpur dan Bangkok.
MSPO ialah piawaian kelestarian nasional Malaysia yang merangkumi keseluruhan rantaian bekalan minyak sawit termasuk pekebun kecil, ladang, peniaga, kilang dan penapis.
Sehingga 31 Ogos 2025, kira-kira 92% sektor minyak sawit Malaysia telah diperakui di bawah MSPO.
EFI pula merupakan sebuah organisasi antarabangsa yang ditubuhkan oleh 30 negara Eropah melalui konvensyen antara kerajaan. Ia berperanan sebagai platform penyelidikan, sokongan dasar dan pertukaran ilmu berkaitan hutan, dengan rangkaian 125 organisasi ahli di 39 negara. - DagangNews.com








