KUALA LUMPUR 5 Jan – Kerajaan mengumumkan beberapa pelarasan penting berkaitan dasar Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST) termasuk penurunan kadar Cukai Perkhidmatan ke atas perkhidmatan bagi sewaan atau pajakan serta peluasan pengecualian kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) berkuat kuasa tahun ini.
Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) berkata kadar cukai perkhidmatan ke atas perkhidmatan bagi sewaan atau pajakan yang dimanfaatkan oleh industri diturunkan dari 8% kepada 6% berkuat kuasa 1 Jan 2026.
Selain itu, had jualan tahunan bagi PMKS yang dikecualikan daripada membayar cukai perkhidmatan dinaikkan daripada RM1 juta kepada RM1.5 juta.
“PMKS yang baru menubuhkan perniagaan turut diberi pengecualian cukai perkhidmatan ke atas perkhidmatan sewaan atau pajakan selama satu tahun mulai tarikh pendaftaran mereka,” kata MOF dalam satu kenyataan.
Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan turut memberikan pengecualian cukai jualan ke atas bahan mentah atau input kritikal yang digunakan oleh pengilang berdaftar bermula 1 Januari 2026.
“Langkah ini bertujuan untuk mengawal harga barangan keperluan asas dan meliputi pengeluaran barangan penternakan dan pertanian termasuk makanan ternakan, baja dan racun perosak.
“Selain itu, cukai perkhidmatan bagi perjanjian pembinaan yang ditandatangani sebelum 1 Julai 2025 dan tiada klausa yang boleh dikaji semula diberikan pengecualian sehingga 30 Jun 2027.
“Ini membolehkan perjanjian perkhidmatan pembinaan yang ditandatangani sebelum peluasan SST layak menikmati pengecualian cukai perkhidmatan selama dua tahun,” kata Kementerian tersebut.
MOF menjelaskan pengecualian sama juga diberikan bagi perkhidmatan pembinaan bangunan ibadat seperti surau, masjid, kuil, gereja dan tokong mulai 1 Julai 2025.
MOF menegaskan langkah-langkah ini dilaksanakan untuk memberi manfaat kepada industri, menyokong pertumbuhan perniagaan kecil dan sederhana, serta memastikan harga barangan keperluan rakyat kekal terkawal. - DagangNews.com








