KUALA TERENGGANU 13 Okt – Kerajaan negeri menanggung subsidi perumahan berjumlah RM20 juta bagi melaksanakan projek khas Perumahan Penempatan Semula Nelayan (PSN) untuk membolehkan golongan itu memiliki rumah sendiri dengan harga serendah RM54,000 seunit berbanding kos sebenar hampir RM150,000.
Projek itu merupakan inisiatif bersama Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan dengan kos keseluruhan mencecah RM33 juta.
Ia melibatkan pembinaan rumah nelayan di tiga lokasi utama di Terengganu iaitu Pulau Skepeng di Kemaman, Benting Lintang di Besut dan Seberang Penarik di Setiu.
Sumbangan tambahan sebanyak RM13 juta daripada Kerajaan Persekutuan turut membantu mempercepatkan pelaksanaan projek tersebut manakala tanah disediakan secara percuma oleh kerajaan negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Datuk Dr Azman Ibrahim berkata, setakat ini, dua projek PSN di Kemaman dan Besut telah siap sepenuhnya, manakala projek di Seberang Penarik, Setiu kini dalam peringkat akhir pembinaan dan dijangka siap tidak lama lagi.
“Mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Projek Khas PSN yang diadakan baru-baru ini meneliti kemajuan projek serta proses pemilihan peserta daripada kalangan nelayan berlesen kumpulan B40.
“Kejayaan ini membuktikan kerajaan negeri berjaya merealisasikan janji yang bukannya sekadar modal politik seperti mana didakwa sesetengah pihak,” katanya dalam satu kenyataan dimuatnaik di Facebook.
Projek itu dibangunkan bagi meningkatkan taraf hidup nelayan tradisional dengan menyediakan kediaman lebih selesa, tersusun dan dilengkapi kemudahan asas seperti jalan, bekalan air serta elektrik.
Dalam mesyuarat yang berlangsung baru-baru ini, Dr Azman berkata, pihaknya turut meluluskan senarai cadangan peserta yang layak dalam kalangan nelayan berpendapatan rendah dan tidak memiliki rumah sendiri.
“Keutamaan diberikan kepada nelayan yang aktif dan berdaftar di bawah kategori B40. Majlis penyerahan kunci rumah PSN akan diadakan pada awal Disember ini,” katanya. - DagangNews.com








