Kerajaan AS setuju adakan rundingan lanjut, terdapat kemungkinan Tarif Trump dikurangkan - PM Anwar | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kerajaan AS setuju adakan rundingan lanjut, terdapat kemungkinan Tarif Trump dikurangkan - PM Anwar

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 Mei - Kerajaan Amerika Syarikat (AS) bersetuju untuk mengadakan rundingan lanjut dengan Malaysia dan terdapat kemungkinan untuk mengurangkan tarif timbal balik yang dikenakan sebelum ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

 

Beliau berkata, proses itu bagaimanapun masih di peringkat awal dan masih belum ada sebarang kata putus mengenainya. 

 

"Sekali lagi ditegaskan, proses ini masih berada pada peringkat awal, tanpa sebarang persetujuan dimuktamadkan oleh kedua-dua pihak," katanya dalam sesi khas di Dewan Rakyat, hari ini.

 

Anwar berkata, terdahulu delegasi Malaysia yang diketuai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz telah mengadakan lawatan kerja ke Washington pada 22 hingga 24 April 2025. 

 

Malaysia merupakan antara 18 buah negara yang setakat ini berjaya mengadakan mesyuarat dengan Kerajaan AS.

 

Beliau berkata, lawatan kerja tersebut diadakan untuk meneroka peluang kerjasama dan perkara boleh ditawarkan Malaysia kepada AS di samping memohon supaya negara itu dapat mempertimbangkan Malaysia dikecualikan daripada tarif timbal balik tersebut.

 

"Setakat ini, tawaran Malaysia kepada Amerika Syarikat termasuklah menangani Halangan Bukan Tarif yang disenaraikan dalam National Trade Estimates Report 2025 yang dikeluarkan oleh AS baru-baru ini. 

 

"Hasil mesyuarat bersama Setiausaha Perdagangan AS, Howard Lutnick dan Wakil Perdagangan AS, Duta Besar Jamieson Greer, kita telah menerima maklum balas positif. Jemaah Menteri dan NGCC telah bersetuju supaya MITI memulakan proses rundingan dengan AS.

 

"Selaku Pengerusi ASEAN bagi tahun 2025, saya telah meneruskan perbincangan dengan semua rakan-rakan sejawat ASEAN mulai 28 April 2025. Rakan-rakan ASEAN juga telah menyatakan dukungan penuh kepada Malaysia untuk membentuk suara kolektif sebagai sebuah blok ekonomi yang besar dalam mengadakan rundingan bersama AS," katanya

 

Perdana Menteri berkata, sejak pengumuman pengenaan tarif timbal balik oleh AS pada 2 April 2025, Kerajaan Madani telah proaktif dengan segera mengambil beberapa ikhtiar awal termasuk penubuhan Pusat Tindakan Geoekonomi Negara (NGCC) pada 4 April lalu yang diterajui Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sebagai sekretariat dengan penglibatan pelbagai kementerian dan agensi berkaitan. 

 

Katanya, NGCC berperanan sebagai platform bersepadu melibatkan pelbagai agensi bagi memantau, menilai dan menyelaras tindak balas terhadap perubahan landskap perdagangan global, kejutan tarif serta halangan bukan tarif bagi memastikan industri strategik, pengeksport dan perancangan ekonomi kekal berdaya tahan dan mampu bersaing dalam ketidaktentuan yang mencabar. 

 

Perdana Menteri berkata, pada 10 April 2025, Malaysia telah menganjurkan Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN mengenai tarif timbal balas AS dan telah mencapai kesepakatan dalam beberapa perkara termasuk tarif timbal balas itu memberi kesan negatif ke atas rantaian bekalan dan perdagangan global terutamanya kepada Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) dan menggugat kestabilan ekonomi ASEAN.

 

"ASEAN kekal komited kepada hubungan yang kukuh dan mampan dengan AS memandangkan negara itu merupakan sumber pelaburan langsung asing (FDI) terbesar dan rakan dagang kedua terbesar untuk ASEAN.

 

"ASEAN senada dan bersetuju untuk tidak mengambil tindakan balas kepada AS tetapi memilih untuk berbincang di meja rundingan selain terus menyokong sistem perdagangan pelbagai hala berasaskan peraturan digariskan WTO.

 

"Pasukan Petugas Geoekonomi ASEAN turut diwujudkan bagi mengukuhkan pemantauan dan penyelarasan dasar di peringkat serantau," katanya.- DagangNews.com