KUALA LUMPUR 26 Ogos – Kerajaan menerusi Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) terus komited meningkatkan kapasiti tenaga boleh diperbaharui (RE) dalam sistem bekalan elektrik negara, dengan sasaran 70% menjelang tahun 2050.
Menurut Petra, antara langkah utama ialah membangunkan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) bagi menstabilkan grid sekali gus membolehkan penambahan kapasiti RE dalam bekalan elektrik negara.
Petra berkata, peluasan kapasiti RE serta pengukuhan sistem dan rangkaian grid akan melibatkan perbelanjaan modal (capex) yang perlu dibiayai sama ada melalui kos pembangunan sistem atau tarif pengguna.
“Namun, bagi memastikan harga elektrik kekal berpatutan untuk pengguna domestik dan industri, peralihan tenaga akan dilaksanakan secara berperingkat. Program RE akan mengutamakan prinsip ‘causer pay’ atau melalui mekanisme bidaan bagi mengelakkan kenaikan mendadak tarif elektrik.
“Pendekatan berperingkat ini penting bagi mengekalkan keseimbangan yang melibatkan kebolehpercayaan, kelestarian dan kemampuan pengguna,” jelas kementerian itu menerusi jawapan bertulis di Parlimen.
Kenyataan itu menjawab pertanyaan Datuk Abdul Khalib Abdullah (PN-Rompin) berhubung status semasa serta cabaran utama dalam melaksanakan projek RE berskala besar, khususnya memastikan kestabilan grid dan kemampuan tarif elektrik untuk pengguna.
Setakat ini, sejumlah 332 projek RE berskala besar dengan kapasiti gabungan 5,894 megawatt (MW) telah diluluskan.
Daripada jumlah itu, 188 projek dengan kapasiti 2,564MW sudah beroperasi.
Petra berkata, antara cabaran utama ialah keupayaan rangkaian grid untuk menampung peningkatan penjanaan elektrik yang bersifat teragih dan tidak menentu.
“Bagi menangani isu ini, perancangan integrasi kapasiti TBB dilaksanakan dengan teliti melalui Jawatankuasa Perancangan dan Pelaksanaan Pembekalan Elektrik serta Tarif (JPPPET).
“Kapasiti RE ditentukan berdasarkan usaha berterusan menaik taraf sistem dan infrastruktur grid, agar penjanaannya dapat diintegrasikan dengan berkesan tanpa kekangan sistem,” tambah Petra.- DagangNews.com








