KUALA LUMPUR 15 Okt – Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM2.44 bilion untuk melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan jalan negeri di Sarawak bagi tempoh 2022 hingga Ogos tahun ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, semua peruntukan itu adalah di bawah Geran Penyelenggaraan Jalan Negeri yang disalurkan oleh Kementerian Kewangan Malaysia .
“Ia diberi secara terus kepada kerajaan negeri secara bulanan, termasuk kepada Sarawak.
“Geran itu disediakan di bawah Perkara 109(1)(b) Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang bertujuan membantu kerajaan negeri dalam melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan semua jalan negeri yang didaftarkan di bawah Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS),” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen.
Jawapan itu adalah bagi menjawab persoalan dibangkitkan Anyi Ngau (GPS–Baram) yang mahu tahu mengenai peruntukan tahunan MARRIS yang disalurkan bagi penyelenggaraan jalan negeri dan luar bandar di Sarawak.
Setakat Ogos 2025, sejumlah RM496.44 juta telah disalurkan kepada kerajaan negeri Sarawak di bawah Geran Penyelenggaraan Jalan Negeri.
Pada tahun 2022, jumlah yang disalurkan ialah sebanyak RM791.25 juta manakala pada tahun 2023 jumlahnya meningkat kepada RM806.20 juta.
Pada tahun 2024 pula, jumlah yang disalurkan kepada Sarawak ialah sebanyak RM838.41 juta.
Dalam Belanjawan 2026 yang dibentangkan baru-baru ini, Sarawak menerima peruntukan Persekutuan kedua tertinggi selepas Sabah iatu RM6 bilion.
Anwar berkata, ia adalah bukti komitmen kerajaan Persekutuan terhadap Perjanjian Malaysia 1963 dengan memastikan kepesatan pembangunan di Sabah dan Sarawak terutamanya prasarana asas. - DagangNews.com








