KUALA LUMPUR 19 Ogos - Kerajaan Negeri Pahang melalui Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK) negeri dengan kerjasama Teroka Majubina Holdings Berhad memeterai perjanjian pajakan bagi pembangunan Kompleks Limbungan Kapal Hibrid Tanjung Agas, Pekan dengan nilai pelaburan keseluruhan bernilai RM75 bilion.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, projek itu melibatkan kawasan seluas 408.92 hektar di Kawasan Perindustrian Tanjung Agas.
Beliau berkata, kompleks itu akan dibangunkan secara berfasa dan merangkumi tiga komponen utama iaitu Green Vessel Recycling (GVR), sebagai pusat kitar semula kapal berteknologi hijau, fasiliti pembinaan kapal yang menyediakan kemudahan pembinaan dan penyelenggaraan kapal.
Selain itu katanya, ia akan turut dilengkapi platform tangki minyak yang menyediakan kemudahan penyimpanan minyak dan gas.
"Projek ini akan dimulakan dalam tempoh lapan bulan dari sekarang dengan fasa pertama akan dimulakan dengan pembangunan komponen GVR yang dijangka mula beroperasi ada Julai 2027.
"Fasa kedua akan melibatkan fasiliti pembinaan kapal serta Tank Farm Oil Platform yang dijangka beroperasi pada Mac 2029," katanya dalam sidang akhbar, hari ini.
Wan Rosdy berkata, projek mega itu dijangka mampu mewujudkan sehingga 25,000 peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia khususnya anak Pahang, sekali gus memberi limpahan manfaat besar kepada ekonomi dan negara.
Beliau berkata, dengan terbinanya kompleks itu, Pahang akan muncul sebagai hab maritim serantau, Pusat Kitar Semula Kapal Berteknologi Hijau serta hab minyak dan gas berdaya saing di rantau ini.
Selain itu katanya, projek itu juga bakal menjadi pemangkin utama agenda pembangunan negeri selari dengan gagasan Aspirasi Pahang 1st dan pelaksanaan Pelan Induk Ekonomi Negeri Pahang 2025 -2030.
"Melalui kedua-dua gagasan ini, Pahang disasarkan muncul sebagai sebuah negeri yang berdaya tahan, berpendapatan tinggi, inklusif serta memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.
"Saya berharap projek ini dapat dilaksanakan dengan lancar dan mengikut jadual dan seterusnya menjadi mercu tanda baharu kemajuan Pahang," katanya.- DagangNews.com








